Dua penyamun kedai serbaneka ditangkap

Suspek yang berusia 31 dan 36 tahun itu mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik. Foto PDRM
Suspek yang berusia 31 dan 36 tahun itu mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik. Foto PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menahan dua suspek dipercayai terlibat dengan lima kes samun kedai serbaneka di sekitar Cheras dalam operasi di sekitar perumahan di Bandar Tun Razak, Cheras pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sekitar jam 2.20 pagi.

"Hasil risikan mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam kes samun kedai serbaneka, Taman Pertama yang berlaku pada Khamis melibatkan kerugian dianggarkan RM507.

"Hasil tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan lima kes samun kedai serbaneka yang berlaku di sekitar kawasan Cheras," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zam Halim berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek yang berusia 31 dan 36 tahun itu mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, suspek direman selama lima hari bermula Jumaat hingga 23 Ogos untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

"Polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah melalui Hotline Polis Cheras 03 92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur 03 2115 9999 atau mana-mana balai berdekatan," ujarnya.