30 kekosongan jawatan pegawai kanan PDRM di Sabah

Idris (kiri) dan Jauteh (kanan) menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Champin pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.
Idris (kiri) dan Jauteh (kanan) menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Champin pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berharap kekosongan 110 jawatan di Kontinjen Sabah dapat diisi dengan segera bagi memastikan keselamatan di negeri ini terus terjamin.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 30 kekosongan bagi pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Sabah dan selebihnya membabitkan kekosongan jawatan dalam Pasukan Polis Marin (PPM).

"Berdasarkan semakan perjawatan pegawai kanan polis di Kontinjen Sabah, terdapat sebanyak 30 kekosongan iaitu dua Deputi Superintendan (DSP), 12 Asisten Superintendan (ASP) dan 16 Inspektor.

"Bagi kekosongan jawatan PPM, seramai 70 orang iaitu sembilan pegawai dan 61 anggota. Pasukan berkenaan berada dalam keadaan genting kerana pasukan ini barisan hadapan yang terbabit secara langsung operasi khas di perairan Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Jumaat.

Dalam majlis itu, Idris memaklumkan dua pegawai kanan IPK Sabah, iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor akan berpindah ke jawatan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Selangor dan Pegawai Pentadbiran, Jabatan Pengurusan IPK Sabah, Deputi Superintendan Rohana Anak Nanu dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Belaga, Sarawak.

Sementara itu, dua lagi pegawai kanan dinaikkan pangkat dengan memangku pangkat lebih tinggi iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, George Abd Rakman memangku pangkat Asisten Komisioner (ACP) dan Ketua Polis Daerah Sipitang Champin Piuh memangku pangkat Superintendan.

Sebelum itu, hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun; Ketua Jabatan Pengurusan Sabah, Datuk Zabidi Md Zain dan Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Mohd Salleh Yahya.