Hanya 20 peratus orang Islam di Perak tunai zakat harta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Statistik menunjukkan hanya 80,000 daripada 400,000 orang Islam di Perak yang berada dalam kategori berkeupayaan menunaikan zakat harta di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Kadar 20 peratus itu menunjukkan kesedaran dan pengetahuan tentang kewajipan membayar zakat harta masih rendah dalam kalangan rakyat.

Perkara itu dimaklumkan dalam Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang mahu usaha menyedarkan lebih ramai ummah bersedia beramal menginfakkan kepada golongan memerlukan dipertingkatkan.

Menurut perkongsian itu, pada tahun 2021, 95 peratus atau RM187 juta kutipan zakat di Perak datangnya daripada zakat harta, hanya 5 peratus atau RM10 juta hasil kutipan daripada zakat fitrah.

"Angka kutipan dan bayaran zakat boleh dianggap sebagai petunjuk pencapaian ekonomi umat Islam.

"Semakin tinggi tahap pendapatan masyarakat muslim dalam sesebuah negara, sepatutnya semakin banyak hasil kutipan zakat diperoleh untuk diagih dan dimanfaatkan ahli masyarakat yang memerlukan.

"Namun, keseimbangan agihan nikmat sukar dicapai semata-mata dengan berlakunya peningkatan pendapatan, jika tidak adanya kesedaran dalam kalangan umat Islam mahu menunaikan zakat harta," kata khutbah itu.

Khutbah bertajuk Zakat Harta dan Tuntutannya itu menekankan bahawa umat Islam yang layak membayar cukai pendapatan amat dituntut menunaikan zakat pendapatan.

Jelas khutbah itu, dalam kalangan yang berpendapatan tetap, gunakan kemudahan menunaikan zakat melalui potongan gaji berjadual dan jumlah zakat yang dibayar pula, layak mendapat rebat (atau potongan) penuh atas cukai pendapatan yang dikenakan.

"Zakat merupakan rukun Islam yang bermatlamat mewujudkan keseimbangan sosial, melalui kutipan sebahagian harta daripada golongan yang berkemampuan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

"Maka, jadikanlah amalan berzakat sebagai budaya hidup," katanya.

Pengisian khutbah turut memaklumkan, wabak Covid-19 yang melanda negara telah menyaksikan institusi zakat menjadi antara badan yang berada di barisan hadapan, bergerak membantu dan menyantuni rakyat terjejas.

Katanya, institusi-institusi zakat di seluruh negara telah menyalurkan hampir RM200 juta bantuan kepada asnaf dan golongan yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"MAIPk berperanan aktif mengagihkan zakat mencecah RM20 juta khusus kepada mereka yang terdesak dan sangat memerlukan bantuan.

"Ketika ini MAIPk juga telah mewujudkan pelbagai jenis bantuan merangkumi bantuan bulanan untuk menampung kehidupan, bantuan kecemasan, serta bantuan-bantuan rumah, persekolahan, pendidikan dan rawatan perubatan," katanya.