KMUM kekal pertahankan Rumah Kediaman Universiti

Kenyataan media oleh KMUM pada Jumaat.
Kenyataan media oleh KMUM pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mengekalkan pendiriannya mempertahankan Rumah Kediaman Universiti (RKU) daripada diserahkan semula kepada pihak pengurusan universiti terbabit.

Dalam satu kenyataan, KMUM memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membincangkan mengenai pengurusan RKU tersebut yang juga dikenali sebagai Rumah Sewa KMUM (RSKMUM) pada Jumaat.

"Maka, KMUM kekal teguh dengan pendirian dan tuntutan yang akan dibawakan pada perjumpaan bersama pihak KPT iaitu menuntut agar pengurusan RSKMUM kekal berada di bawah KMUM dan dikembalikan bagi penempatan mahasiswa dan mahasiswi senior dalam kalangan B40 yang tidak berjaya mendapatkan penempatan di kolej kediaman.

"Kedua, membuka sekurang-kurangnya empat aras di kolej kediaman ke-13 (KK13) dengan kadar yang segera bagi penginapan mahasiswa dan mahasiswi di UM," menurut kenyataan itu.

Menurut KMUM, lanjutan daripada notis diterima daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) untuk menyerahkan semula RSKMUM, pihaknya telah melaksanakan pelbagai usaha antaranya menyuarakan perkara berkenaan kepada Menteri KPT, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Pengarah KPT, Profesor Datuk Dr Husaini Omar dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Selain itu katanya, memorandum tuntutan turut dihantar kepada Naib Canselor UM, Datuk Profesor Mohd Hamdi Abd Shukor.

"Perbincangan juga diadakan bersama BHEP, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) serta berhubung dengan bekas Presiden KMUM dari tahun 2019-2021," kata KMUM.

Menurut kenyataan itu, RSKMUM telah dipersetujui untuk diserahkan kepada KMUM oleh pengurusan UM pada 2019 sekiranya persatuan itu berjaya mendapatkan dana bagi membaiki rumah banglo tersebut yang ketika itu berada dalam keadaan rosak.

Susulan daripada itu, KMUM berjaya meraih dana sebanyak RM270,000 pada tahun 2019 untuk membaiki sembilan unit RSKMUM.

Jelas KMUM, sejak 2019, hampir 40 peratus daripada pelajar senior tiada kuota penempatan di kolej kediaman dan menghadapi kekangan kewangan menyewa di luar kampus dengan harga sewaan yang mahal di antara RM300 ke RM600 bagi seorang pelajar di samping pengangkutan bas UM yang bermasalah.

Sehubungan itu, ia berkata, kewujudan RSKMUM sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah penginapan bagi 200 pelajar senior yang tidak mendapat penempatan di kolej dengan kadar sewa yang rendah termasuk secara percuma.

"Sekiranya UM ingin mengambil semula RSKMUM bererti UM perlu mengembalikan semula duit mahasiswa iaitu dana yang telah diperoleh KMUM daripada sumbangan luar sebanyak RM270,000 yang telah digunakan untuk membaik pulih rumah RKU," ujarnya.