Najib tamatkan perkhidmatan firma guaman Zaid Ibrahim

Zaid Ibrahim - Foto Bernama
Zaid Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak telah menamatkan perkhidmatan firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) bagi prosiding rayuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda membabitkan penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat.

Ketika prosiding di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, peguam Hisyam Teh Poh Teik selaku peguam utama Najib berkata, peguam cara itu telah dilepaskan oleh Najib selaku perayu.

Tengku Maimun kemudiannya menjawab, ‘Oh, begitu’ kemudian mengarahkan responden, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram menyambung hujahan.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Nampaknya, niat peguam Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang dahulunya menyatakan tidak akan meninggalkan Najib, tidak kesampaian kerana dihentikan sebelum prosiding berakhir.