Keputusan rayuan kes SRC Najib esok atau masa terdekat

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan kes rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International sama ada serta-merta atau dalam masa terdekat, kata peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Beliau berkata, mahkamah akan menyatakan dua kemungkinan tersebut sekiranya hujahan daripada pihak Najib selaku perayu dan responden selesai pada Jumaat.

Geethan yang juga peguam kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram (AMLA) berkata, jika mahkamah memilih untuk memberi keputusan dalam masa terdekat, ia mungkin memakan masa kurang daripada seminggu.

“Kes ini agak kompleks, sebab ia melibatkan pelbagai isu, jadi mahkamah boleh ambil masa untuk beri keputusan.

“Namun perlu diingatkan, mahkamah boleh nyatakan keputusan serta-merta sebagaimana kes-kes lain sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ditanya mengenai apa yang akan berlaku kepada Najib selepas keputusan diketahui, Geethan berkata, bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan jika mahkamah menerima rayuan tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, Najib perlu menjalani hukuman sekiranya mahkamah tidak membenarkan rayuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda kes SRC itu.

Katanya, berakhirlah perjalanan Najib maka inilah peluang terakhir serta penentu kepada ahli politik tersebut.