YIDE pupuk semangat patriotik dalam kalangan anak yatim

Poster Program Munajad Perdana Bersama Anak-anak Yatim dan Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan pada Khamis.
Poster Program Munajad Perdana Bersama Anak-anak Yatim dan Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyemarakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan anak yatim menerusi program penyerahan Jalur Gemilang kepada 22 buah rumah kebajikan seliaannya.

Program penyerahan Jalur Gemilang tersebut akan diadakan di Kompleks Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, di sini pada Khamis.

Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, program tersebut diadakan kali kedua sejak ia dilaksanakan bermula tahun 2020.

Menurutnya, ia juga inisiatif YIDE bagi membangkitkan semangat patriotik khususnya kepada anak-anak yatim atau penghuni di seluruh rumah kebajikan seliaannya.

Nur Mohd Razali berkata, YIDE turut menguar-uarkan kepada hampir 8,000 anak-anak yatim melalui penjaga mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing dengan konsep satu rumah satu bendera.

"Kita seharusnya mengambil peluang dan ruang bagi menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri masing-masing.

“Erti kemerdekaan sebenar pada generasi kini membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk melalui empat aspek utama, iaitu agama, akhlak, pendidikan dan bahasa.

"Hal ini demikian kerana mereka berhadapan ancaman penjajahan dari segi bentuk baharu, terutama pemikiran dan budaya seiring dengan kepesatan teknologi masa kini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam program sama, YIDE turut menganjurkan Munajat Perdana Bacaan Surah Yasin dan Doa Selamat serentak selepas solat maghrib bersama 22 buah rumah kebajikan anak-anak yatim seliaannya dengan dipimpin oleh Ikon Mahabbah YIDE, Don Daniyal Don Biyajid.