Isteri Tun Mohd Khalil, Toh Puan Zurina meninggal dunia

Allahyarhamah Toh Puan Zurina
Allahyarhamah Toh Puan Zurina
A
A
A

MELAKA - Isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam, Tun Mohd Khalil Yaakob, iaitu Allahyarhamah Toh Puan Zurina Kassim meninggal dunia pagi Khamis.

Allahyarhamah, Ton Puan Zurina, 78, meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada jam 10.10 pagi.

Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, selepas solat Asar pada Khamis sejurus majlis penghormatan terakhir dilakukan Dewan Seri Negeri, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh pada jam 3.30 petang ini.

Toh Puan dilahirkan pada 13 Julai 1944 di Duyong, Melaka dan mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil ketika berusia 21 tahun pada 28 Februari 1965 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Allahyarhamah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru dan kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur.

Kompleks Yayasan Toh Puan Zurina (YTPZ) yang terletak di Pantai Peringgit, Melaka menjadi saksi antara kerja-kerja kebajikan dan sumbangannya yang pernah dilakukan kepada rakyat Melaka semasa hayatnya.

YTPZ yang dibangunkan dengan kos lebih RM13 juta dan turut menawarkan perkhidmatan hemodialisis secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan.