Peguam mohon Khalid Redza dirujuk psikiatri

Akif Rusli ketika hadir di mahkamah pada Khamis.
Akif Rusli ketika hadir di mahkamah pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Peguam kepada tertuduh Khalid Redza Shuib, 41, yang berdepan pertuduhan membunuh, mencederakan wanita dan pengabaian kanak-kanak memohon Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis membenarkan anak guamnya membuat semakan kesihatan psikiatri.

Peguamnya, Akif Rusli memberitahu yang tertuduh mempunyai masalah 'gangguan' manakala anak perempuannya di bawah umur yang turut dituduh membunuh seorang kanak-kanak, Hanwn Hasrul Izwan, 5, merupakan orang kurang upaya(OKU) dan difahamkan ada sedikit masalah mental.

"Saya memohon agar kedua-dua tertuduh disemak kesihatan mereka dengan pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya juga dimaklumkan anak perempuannya mengalami semput dan mempunyai kad OKU, oleh itu saya memohon semakan mental bagi kedua-dua tertuduh oleh pihak psikiatri," katanya pada prosiding mahkamah pada Khamis.

Beliau membuat permohonan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi memaklumkan bahawa laporan makmal, kimia dan forensik masih belum diperoleh.

Majistret Mohd Firdaus Salleh memberitahu, mengambil maklum permohonan dibuat oleh pihak pembelaan, namun disebabkan tiada dokumen sokongan dikemukakan ia tidak diterima.

Sementara itu, di mahkamah berasingan Majistret Norzaliza Tesmin berkata, berdasarkan penilaiannya, Khalid Redza tidak mempunyai masalah mental serta memahami pertuduhan ke atasnya.

"Sekiranya perlu, pada tarikh akan datang boleh buat permohonan (untuk merujuk tertuduh kepada pihak psikiatri) dengan disertakan dokumen sokongan," katanya.

Permohonan sama untuk turut dikemukan Akif di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed di Mahkamah Sesyen.

Pada 13 April lalu, Khalid Redza dan anak perempuannya yang masih di bawah umur didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

Khalid Redza turut didakwa membunuh seorang wanita, Meriamah Abdullah Basam, 29.

Di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak, Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.