5 lelaki ceroboh pusat tahfiz, pukul ustaz dipenjara, denda

Tertuduh menutup wajah masing-masing ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Lipis pada Khamis.
Tertuduh menutup wajah masing-masing ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Lipis pada Khamis.
A
A
A

LIPIS - Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mencederakan seorang tenaga pengajar pusat tahfiz di Kuala Lipis pada 11 Ogos lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Wan Haris Wan Ismail, 38, Zulkifli Mohd Nasir, 27, dan Azraen Che Mat Noor, 43, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama di surau pusat tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah dalam daerah Lipis telah dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.10 petang pada 1 Ogos lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Sesyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, semasa pengadu berada di pusat tahfiz tersebut, enam lelaki telah mendatangi pusat tahfiz pada waktu dan tarikh sama dengan sebuah kenderaan jenis Suzuki Dmax warna perak yang masuk ke dalam kawasan berpagar pusat tersebut dan bertanyakan siapa ustaz yang menjaga pusat terbabit.

Mangsa kemudiannya memperkenalkan diri lalu dipukul oleh ketiga-tiga tertuduh di hadapan surau pusat tahfiz berkenaan menyebabkan kecederaan dan berdarah di bahagian kanan bawah mata.

Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Lipis pada Khamis.
Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Lipis pada Khamis.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifaa Izzati Abdul Mutalif manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Fariha Nuzuruhan.

Abdul Ghafar meminta hukuman setimpal dikenakan kerana itu melibatkan kepentingan orang awam dan menimbulkan kemarahan masyarakat selepas ia tular di laman sosial selain mangsa tidak melawan dalam kejadian tersebut.

Fariha dalam rayuan untuk tertuduh merayu supaya mengurangkan hukuman berikutan tertuduh telah kesal dan berjanji tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Siti Aisyah kemudiannya mengenakan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh ditangkap dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika denda gagal dijelaskan.

Sementara itu, di mahkamah sama, ketiga-tiga tertuduh terbabit bersama dua lagi tertuduh, Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29, dan Rizuwan Hazmi, 47, mengaku bersalah atas kesalahan menceroboh pusat tahfiz itu tanpa kebenaran pada tarikh sama.

Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa telah melakukan pencerobohan kawasan pusat tahfiz berkenaan tanpa kebenaran pada waktu dan tarikh sama.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Rifaa meminta hukuman setimpal dikenakan kepada kesemua tertuduh kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan kemarahan masyarakat kerana perlakuan itu dilakukan di pusat tahfiz.

Kejadian itu juga telah menimbulkan rasa takut, trauma dan mendatangkan ancaman kepada institusi pendidikan khususnya kepada pelajar serta guru.

Fariha yang mewakili kesemua tertuduh merayu hukuman dikurangkan dan Siti Aisyah kemudiannya menetapkan hukuman 10 bulan penjara dari tarikh ditangkap dan denda RM2,000 atau tambahan enam bulan penjara jika denda terbabit gagal dijelaskan.

Sebelum itu, dua klip video memaparkan insiden itu tular di laman sosial dan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan pelaku menyerang dan memukul mangsa di pusat tahfiz tersebut.

Susulan kejadian itu, dua lelaki berjaya ditahan di Damak, Jerantut pada 12 Ogos lalu manakala tiga lagi lelaki ditahan pada 13 Ogos iaitu dua di Terengganu dan seorang lagi di Felda Lepar Utara, Jerantut pada hari sama.