YaPEIM, IPK KL meterai MoA perkukuh hubungan dua hala

Awang (dua dari kanan) dan Azmi (dua dari kiri) menyaksikan meterai MoA yang ditandatangani oleh dua pihak pada program Sehari Bersama YaPEIM di IPK Kuala Lumpur pada Selasa.
Awang (dua dari kanan) dan Azmi (dua dari kiri) menyaksikan meterai MoA yang ditandatangani oleh dua pihak pada program Sehari Bersama YaPEIM di IPK Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,203 warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjadi penyumbang Skim Infaq Gaji (SIG) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

YaPEIM menerusi satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu kira-kira RM8,000 berjaya dikumpulkan di bawah program yang sebelum ini dikenali Skim Potongan Gaji YaPEIM.

Menurut kenyataan itu, bagi memperkukuh hubungan dua hala, YaPEIM dan IPK Kuala Lumpur telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) yang memberi pengkhususan dalam mengumpul dan mengagihkan dana pada Selasa.

"YaPEIM percaya kerjasama yang berlangsung selama lima tahun ini dapat menguntungkan kedua belah pihak terutama dari segi kadar sumbangan balas diterima pihak IPK Kuala Lumpur akan memberi manfaat kepada warganya.

"Kerjasama ini juga membuka ruang kepada YaPEIM dalam menggembleng sumber dana yang diterima bagi pelaksanaan program sosioekonomi dan amal jariah yang telah menabur jasa selama 38 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Majlis Pemeteraian MoA telah berlangsung di IPK Kuala Lumpur pada program Sehari Bersama YaPEIM yang urut dihadiri Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Awang @ Musran Tawil dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Ujar kenyataan itu, MoA tersebut diharap memperkasa hubungan rentas institusi awam dan swasta serta membantu institusi-institusi berpotensi lain berkembang dalam bidang kewangan dan kemahiran.

"Untuk rekod, sejak tahun 1985 hingga 30 Jun tahun ini, YaPEIM melalui Tabung Amanah telah membuat agihan dana sebanyak RM798 juta yang memanfaatkan 8.19 juta penerima manfaat membabitkan program amal sosioekonomi, kebajikan dan program keusahawanan," ujar kenyataan itu.

Pada majlis itu, YaPEIM turut menyerahkan sumbangan kepada 16 keluarga warga IPK Kuala Lumpur menerusi program Inspirasi Prihatin YaPEIM dan Sinar Kasih bagi tahun 2021 dan 2022.

Jumlah sumbangan yang diserahkan bagi program Inspirasi Prihatin YaPEIM sebanyak RM8,000 manakala untuk program Sinar Kasih adalah RM21,600.