Kim Swee anggap Farhan aset baharu Sabah

Kehadiran Farhan dalam pasukan Sabah FC pada pertengahan musim Liga Super 2022 memberikan impak positif kepada pasukan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee. FOTO SABAH FC
Kehadiran Farhan dalam pasukan Sabah FC pada pertengahan musim Liga Super 2022 memberikan impak positif kepada pasukan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee. FOTO SABAH FC
A
A
A

JARINGAN Farhan Roslan pada lewat permainan berjaya membantu Sabah FC meraih satu mata selepas mengikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-1 pada aksi Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, bekas pemain Kedah itu disifatkan antara aset baharu The Rhinos yang memberikan impak positif kepada pasukan kerana sentiasa memberikan komitmen tinggi setiap kali diturunkan.

Menurutnya, gol jaringan Farhan penting buat Sabah FC pada perlawanan itu kerana berjaya mengikat gol awal Sang Kenari pada minit ke-6 menerusi Ronald Ngah Wanja.

"Saya mengambil Farhan pada pertengahan musim (pada perpindahan kedua pemain Liga Malaysia 2022 dari Kelantan) dan kita tahu dia mempunyai cukup pengalaman untuk berada di dalam kesebelasan utama.

"Saya gembira untuknya kerana sebelum ini hanya bermain dengan pasukan Liga Premier dan bersama Sabah, dia beraksi dengan lebih baik dan ini adalah satu lagi aset buat pasukan Sabah," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan Liga Super 2022 KDA FC dan Sabah FC di Stadium Darul Aman.

Kim Swee berkata, pasukannya mampu untuk keluar sebagai pemenang pada perlawanan tersebut namun beberapa peluang keemasan yang diperolehi gagal diterjemahkan kepada gol.

Jelasnya, beberapa pemain tonggak pasukan seperti Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah juga telah memberikan komitmen yang tinggi untuk memburu gol namun faktor keletihan membataskan kemampuan mereka selepas beraksi dengan cemerlang pada beberapa perlawanan lalu.

"Kita bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan kedua keseluruhannya tetapi peluang yang kita dapat tidak dapat disempurnakan dengan baik.

"Apabila Kedah mendapat gol pada awal minit permainan, ia telah mengubah corak permainan kita sebelum kita mendapatkan gol pada minit ke-84. Jika gol hadir lebih awal saya percaya kita mampu mendapatkan kemenangan," ujarnya.

Keputusan seri tersebut menyaksikan Sabah FC kekal di tangga kedua Liga Super dengan 35 mata selepas 16 perlawanan manakala JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan 38 mata selepas 14 perlawanan.