'Ulat' guna Peugeot, Vellfire pancing penumpang

JPJ Selangor mengesan kegiatan 'ulat' di KLIA2, Sepang pada Rabu.
JPJ Selangor mengesan kegiatan 'ulat' di KLIA2, Sepang pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Kegiatan perkhidmatan kereta sewa secara haram menggunakan kenderaan jenis Peugeot dan Toyota Vellfire bagi 'memancing' penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) di sini dibongkar pihak berkuasa, pada Rabu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kegiatan dua 'ulat' itu dikesan pihaknya hasil intipan dan pemantauan.

Menurutnya, dua pemandu berusia 40 dan 46 tahun yang sedang membawa penumpang ditahan secara berasingan sepanjang seharian operasi dilaksanakan.

"Siasatan awal mendapati pemandu terbabit masing-masing sedang membawa penumpang untuk ke Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

"JPJ telah menyita dua kenderaan jenis Peugeot dan Toyota Vellfire itu untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

JPJ Selangor mengesan kegiatan 'ulat' di KLIA2 Sepang pada Rabu.
JPJ Selangor mengesan kegiatan 'ulat' di KLIA2 Sepang pada Rabu.

Beliau berkata, soal siasat mendapati 'ulat' terbabit mengenakan tambang kepada pelancong tempatan dan asing antara RM60 hingga RM150 bagi perjalanan dari KLIA2 ke Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan kegiatan ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama," ujarnya.

Tambahnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA2 atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram," katanya.