Isu beban tugas guru: KPM tingkat kecekapan sistem

Mohd Radzi -Foto Bernama
Mohd Radzi -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaporkan sedang meningkatkan kecekapan sistemnya dalam usaha memastikan masa guru dapat digunakan sebaiknya untuk mendidik pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ketidakcekapan sistem menyebabkan banyak kekangan dihadapi oleh guru, sekali gus mampu menambahkan beban tugas mereka.

“Sebagai contoh, apabila kita turun ke bawah, kita jumpa penolong kanan pentadbiran, beliau bertanggungjawab menyusun jadual satu sekolah. Apabila kita bincang, ada sekolah susun jadual secara manual dan ada sekolah ambil pendekatan beli sistem melalui vendor.

“Apabila kita bincang kenapa kita tak buat. Jadi, kita sedang buat sistem untuk buat jadual dalam sistem tersebut. Di mana setiap sekolah ini boleh masuk dalam sistem tersebut, boleh tengok berapa ramai cikgu dia, mata pelajaran apa, berapa jam seminggu dan sistem itu akan 'generate' jadual yang dicadangkan.

“Dalam konteks ini, kena bezakan antara beban tugas atau ketidakcekapan sistem,” katanya sebagaimana dilaporkan Astro Awani.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, apa yang dilakukan KPM ketika ini ialah guru-guru dipanggil melalui kumpulan fokus untuk menceritakan kepada kakitangan teknologi maklumat dan pihak terlibat bagi mengetahui tugas sebenar guru di sekolah.

“Kadang-kadang tugas itu bukan kementerian yang minta tetapi sekolah. Ada sekolah yang nak kena kumpulkan data itu ini.

“Jadi, sekarang ini kita nak selaraskan apa 'core' data yang kita perlukan. Justeru, dalam konteks ini, KPM sedang meningkatkan kecekapan sistem bagi memastikan masa guru-guru itu digunakan untuk mendidik anak-anak,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebelum ini dibuat dengan teliti serta mendalam.

Menurutnya, melalui sesi libat urus dilakukan, sistem peperiksaan lebih banyak memberi tekanan kepada pelajar.

Katanya, pemansuhan dua peperiksaan itu disifatkan sebagai transformasi besar kepada negara agar potensi pelajar dapat dilihat secara keseluruhan dan bukan melalui akademik semata-mata.

“Kita lihat secara keseluruhan. Keputusan untuk kita menghapuskan UPSR dan PT3 ini dibuat dengan penuh teliti.

“Sesi libat urus ini kami buat dari Perlis sampai ke Sabah, bertemu dengan ibu bapa, guru, pentadbir sekolah dan juga kita tanya dengan murid sendiri.

“Kalau saudara saudari ikut kita dalam sesi libat urus ini, ada yang menitiskan air mata, bagaimana sistem peperiksaan ini menekan masyarakat daripada pelbagai sudut. Kita meremehkan tekanan yang diberikan oleh sistem ini kepada keseluruhan masyarakat,” jelasnya.