Penyamun acu pisau di kepala sebelum larikan Myvi

Kereta Perodua Myvi milik seorang guru wanita yang dilarikan suspek.
Kereta Perodua Myvi milik seorang guru wanita yang dilarikan suspek.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang guru wanita berdepan detik cemas apabila diacu pisau di kepalanya oleh dua lelaki dalam kejadian samun berkumpulan di rumahnya di Taman Mutiara Rini, Skudai dekat sini pada Rabu lalu.

Dua suspek yang menaiki motosikal itu turut melarikan dua telefon bimbit dan sebuah kereta Perodua Myvi milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa yang berusia 38 tahun pada hari yang sama.

"Pihak polis kemudian berjaya menahan empat suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu termasuk jenayah lain di sekitar Iskandar Puteri pada jam 1.30 petang Khamis lalu.

"Polis turut berjaya merampas Perodua Myvi dan dua buah telefon bimbit milik mangsa yang dilaporkan disamun kumpulan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati kesemuanya positif dadah selain turut mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Menerusi penahanan empat suspek tersebut, polis percaya sudah menumpaskan kumpulan jenayah tersebut dikenali sebagai Geng Hitam Putih yang aktif melakukan jenayah sekitar bandar raya ini.

"Penahanan tersebut juga membantu polis menyelesaikan 12 kes jenayah yang dilaporkan di kawasan berkenaan antaranya kes samun, pecah rumah dan melarikan kenderaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.