Jangan sampai rakyat hilang hormat pada kerajaan

Kerajaan perlu buktikan barisan pimpinan sedia ada kini benar-benar menerapkan konsep Keluarga Malaysia selain memastikan barisan kepimpinannya bebas daripada gejala rasuah dan berintegriti tinggi. - Foto 123RF
Kerajaan perlu buktikan barisan pimpinan sedia ada kini benar-benar menerapkan konsep Keluarga Malaysia selain memastikan barisan kepimpinannya bebas daripada gejala rasuah dan berintegriti tinggi. - Foto 123RF
A
A
A

PENDEDAHAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai perolehan meriam berat Self Propelled Howitzer (SPH) yang dilakukan secara rundingan terus antara Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat MA Analytics Sdn Bhd mendapat pelbagai reaksi masyarakat.

Tatkala rakyat kini sedang dihidangkan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang berlangsung di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur membabitkan bekas Panglima TLDM, sekali lagi isu berkaitan aset pertahanan negara menjadi tumpuan.

Dikatakan Kementerian Pertahanan (Mindef) telah menolak pemohonan tender secara terus, namun MOF sebaliknya meluluskannya dengan memohon kepada Perdana Menteri untuk meluluskan cadangan berkenaan.

"Kali ini Mindef tak bagi (rundingan terus) tapi MOF senang-senang bagi rundingan terus. Macam sama dengan skandal LCS ini. Saya gesa MOF jawab isu yang timbul ini,” tulis Syed Saddiq di laman Facebook pada Selasa.

Melihat kepada situasi berkaitan LCS dan SPH, rakyat kini mula mempersoalkan ketelusan dan integriti kerajaan dalam melaksanakan sesuatu projek membabitkan aset pertahanan negara.

Di sebalik kegusaran terhadap isu melibatkan jutaan wang rakyat disalah guna, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob menyeru penjawat awam mempertahankan kerajaan daripada dakwaan dan fitnah berkenaan pentadbirannya gagal.

Ini kerana katanya, kerajaan yang dipimpinnya adalah kerajaan bersama dengan menekankan konsep Keluarga Malaysia.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu membuktikan barisan pimpinan sedia ada kini benar-benar menerapkan konsep Keluarga Malaysia selain memastikan barisan kepimpinannya bebas daripada gejala rasuah dan berintegriti tinggi.

Bukan apa, kita tidak mahu rakyat terus menerus disajikan dengan pelbagai pendedahan lain selepas ini yang membuktikan sebaliknya, sekali gus mengakibatkan rakyat hilang hormat kepada pemimpin.