Dana: KHM jumpa PM dalam masa terdekat

Subahan ketika menyambut kepulangan skuad hoki dalam dewan lelaki negara yang mencipta sejarah menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok, pada Isnin.
Turut tiba bersama adalah skuad wanita yang berjaya merangkul pingat gangsa pada kejohanan sama. - Foto FB Malaysian Hockey Confederation
Subahan ketika menyambut kepulangan skuad hoki dalam dewan lelaki negara yang mencipta sejarah menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok, pada Isnin. Turut tiba bersama adalah skuad wanita yang berjaya merangkul pingat gangsa pada kejohanan sama. - Foto FB Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat bagi memohon dana untuk memajukan lagi standard pasukan kebangsaan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata, pihaknya yakin kerajaan akan membantu badan induk itu mendapatkan dana yang diperlukan antaranya untuk menghantar pasukan berlatih di luar negara.

Katanya, dengan cara itu, pasukan dapat memperbaiki corak permainan yang turut mampu mempengaruhi peningkatan prestasi pemain seterusnya dapat mengharumkan nama negara di kejohanan antarabangsa.

"Kita mohon tapi terpulang kepada budi bicara mereka yang lebih bijaksana.



Pada kami kalau diberikan Alhamdulillah, kita perlukan (dana) untuk perbaiki mutu permainan dan pasti kita tidak akan menghampakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Selasa.

Terdahulu, Subahan menyambut kepulangan skuad hoki dalam dewan lelaki negara yang mencipta sejarah menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok, pada Isnin.

Turut tiba bersama adalah skuad wanita yang berjaya merangkul pingat gangsa pada kejohanan sama.

Enggan mendedahkan jumlah dana yang diharapkan, Subahan berkata: "Saya nak cakap susah sebab perkara itu antara kami dan kerajaan tapi memang kita akan minta jumlah yang tidak keterlaluan dan terpulang kepada budi bicara pemimpin negara,”.

Sementara itu, beliau berbangga dengan kejayaan yang dicapai kedua-dua pasukan hoki dalam dewan negara di Bangkok terutama skuad lelaki apabila buat julung kali bergelar juara Asia selepas menewaskan juara bertahan Iran 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti di final.

"Ini satu pencapaian yang saya sendiri pun amat terharu, terus terang saya pun tidak sangka dan duga Malaysia dapat tundukkan Iran,” katanya.

Beliau berkata skuad wanita yang meraih gangsa selepas mengatasi Kazakhstan 2-0 pada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat juga telah mempamerkan persembahan yang hebat sepanjang kejohanan itu. - Bernama