Agong, Raja Permaisuri ucap tahniah kepada skuad hoki lelaki

Seri Paduka menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan skuad hoki lelaki mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. - Foto Facebook Istana Negara
Seri Paduka menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan skuad hoki lelaki mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad hoki lelaki negara atas kejayaan melakar sejarah muncul juara buat kali pertama pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 di Bangkok, pada Isnin.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Istana Negara, pada Selasa, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan tersebut sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Al Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada skuad hoki lelaki negara dan berharap mereka terus berusaha serta bekerja keras untuk mencapai kecemerlangan dan mengharumkan nama negara di kejohanan-kejohanan lain.

Skuad hoki tersebut muncul juara selepas mengatasi juara bertahan Iran, 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final sekali gus menamatkan dominasi negara itu yang menjuarai setiap edisi kejohanan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2008.

Kemenangan turut membolehkan skuad negara bimbingan Muhammad Amin Rahim melunaskan dendam ke atas Iran selepas tewas dalam empat aksi final pada edisi 2008, 2009, 2010 dan 2014. - Bernama

Artikel Berkaitan: