Parti politik tidak boleh terima dana pihak ada kaitan kerajaan

Wan Junaidi bercakap kepada pemberita semasa ditemubual di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, pada Selasa. - Foto Bernama
Wan Junaidi bercakap kepada pemberita semasa ditemubual di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Parti politik tidak boleh menerima dana daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari di dalam dan luar negara.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perkara tersebut masih dibincangkan di dalam garis panduan dicadangkan dalam RUU Dana Politik.

"Kita juga melihat sekiranya sesebuah institusi menerima sumbangan daripada kerajaan, ia tidak boleh diberi kepada parti politik untuk sumbangan dana," katanya dalam sesi temubual bersama pemberita di pejabatnya, di sini pada Selasa.

Menurutnya, sumbangan dari individu perseorangan atau pihak luar negara juga tidak dibenarkan.

"Satu lagi yang dibincangkan adalah syarikat yang mendapat kontrak daripada kerajaan...Jangan nanti jumpa menteri, beritahu ada sumbang dalam dana politik, jadi kena bagi kontrak kepada syarikat dia," katanya.

Beliau berkata, pihak yang dianugerahkan lesen atau geran daripada kerajaan juga tidak boleh menyumbang dana politik.

"Ini kerana terdapat konflik kepentingan dan turut membabitkan isu integriti," katanya.

Wan Junaidi berkata, perbincangan cadangan RUU Dana Politik yang diadakan sejak tahun 2009 itu berada di landasan yang tepat.

"Hukuman dan penalti di dalam RUU itu juga turut diperhalusi sama ada penerima atau pemberi sumbangan yang harus dihukum," katanya.

Ujarnya, dalam mesyuarat yang diadakan pada 12 Ogos lalu turut membincangkan cadangan mewujudkan suatu badan untuk dipertanggungjawabkan mengawal selia dana politik.

"Pada mulanya kita mahu letakkannya di bawah Suruhanjaya Pilih Raya (SPR), namun suruhanjaya itu memaklumkan ia tidak sesuai.

"Kita memikirkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana mereka yang mengawal selia parti, tetapi pihak ROS perlu mendapatkan keputusan bersama Menteri Dalam Negeri," katanya.

Katanya, sekiranya ia tidak diletakkan di bawah ROS, badan tersebut perlu berdiri dengan sendirinya supaya boleh menguruskan dana politik.

"Standard sama ada guna lembaga atau komisen (suruhanjaya)," katanya.

Tambah Wan Junaidi, satu libat urus bersama pihak berkepentingan adakan diadakan untuk memperhalusi perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam garis panduan berkenaan.

"Kita mahu mendengar apa yang boleh, apa yang tidak boleh dan sama ada ada pengurangan ataupun tidak," katanya.

Pada 19 Mei lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju secara dasar dengan cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan itu masih perlu dibincangkan dengan ahli Kabinet sebelum sesi libat urus dengan parti-parti politik.