Gol menarik Selvaraj calon Anugerah Puskas

Selvaraj (tengah) meraikan kejayaannya menghasilkan gol cantik sekali gus membantu Negeri Sembilan FC menewaskan Selangor FC 3-2 pada aksi Liga Super di Petaling Jaya pada 31 Julai. - Foto media sosial
Selvaraj (tengah) meraikan kejayaannya menghasilkan gol cantik sekali gus membantu Negeri Sembilan FC menewaskan Selangor FC 3-2 pada aksi Liga Super di Petaling Jaya pada 31 Julai. - Foto media sosial
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan secara rasmi gol menarik yang dihasilkan pemain Negeri Sembilan FC, Sean Selvaraj akan dihantar ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk Anugerah Puskas 2022.

Jaringan dari luar kotak penalti pemain berusia 26 tahun itu dihasilkan pada perlawanan Liga Super menentang bekas pasukannya, Selangor FC pada 31 Julai lalu.

Gol tersebut juga menjadi jaringan kemenangan skuad Hobin Jang Hobin untuk membenam Selangor FC 3-2 pada aksi yang berlangsung di laman lawan, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Pengesahan perkara tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan badan induk bola sepak negara itu.

"Jawatankuasa mengesahkan untuk gol Selvaraj ketika perlawanan Liga Super 2022 menentang Selangor FC pada 31 Julai dihantar secara rasmi cadangan pencalonan ke FIFA untuk Anugerah Puskas," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Anugerah Puskas FIFA merupakan pengiktirafan gol tercantik dunia yang bersempena nama penyerang Hungary, Ferenc Puskas dari Hungary kerana koleksi besar jaringannya, 84 gol dalam 85 perlawanan antarabangsa.

Jaringan cantik Selvaraj itu ternyata menarik perhatian peminat seluruh dunia termasuk FIFA yang mengakui gol terbabit layak dicalonkan ke Anugerah Puskas.

Malah, badan induk dunia berkenaan mengakui jaringan dari jarak kira-kira 30 meter itu ajaib dan dilihat berpeluang untuk muncul antara jaringan terbaik sepanjang musim ini.

Menerusi kenyataan di laman Twitter FIFA, gol Selvaraj pada minit ke-88 itu adalah antara tiga gol pilihan terbaik mingguan dari seluruh dunia.

Sebagai rekod, Mohd. Faiz Subri mencipta sejarah sebagai pemain pertama dari Malaysia yang menggondol anugerah berprestij itu di Zurich, Switzerland pada 9 Januari 2017 dengan gol sepakan bebasnya yang ‘menentang hukum fizik’ dalam aksi Liga Super 2016.

Dalam pada itu, Sivasundaram menambah, program akar umbi FAM bagi 2023 akan diperkasakan bagi mendapatkan Keahlian Emas Piagam Akar Umbi AFC daripada Keahlian Perak milik persatuan ketika ini.

Katanya, had umur penyertaan pemain bagi Piala Belia juga diturunkan daripada bawah 19 (B-19) kepada B-18 tahun supaya selaras kitaran had umur bagi pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Liga SupaRimau B-12, B-14 dan B-16 akan dimainkan sehingga pusingan akhir peringkat kebangsaan (liga pertandingan), manakala bagi kategori B-6, B-8 dan B-10 lebih bertumpukan pembangunan tanpa carta liga dan dijalankan dalam konsep festival.

“FAM akan menggunakan platform Skim Pembangunan Bakat FIFA (TDS) untuk mengenal pasti, melatih dan melantik pencari bakat dalam semua jenis pertandingan di seluruh pelosok negara.

“Pencari bakat ini bukan saja dalam kalangan jurulatih tetapi juga individu yang mempunyai kebolehan tersebut. TDS merupakan platform FIFA kepada ahli-ahli gabungannya untuk membantu individu-individu yang terlibat ini melakukan pencarian bakat dengan kaedah bersistematik,” katanya.