Pemilik syarikat didakwa terima rasuah RM1.1 juta

Seorang pemilik syarikat swasta didakwa dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.1 juta berkait tender notis saman PDRM.
Seorang pemilik syarikat swasta didakwa dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.1 juta berkait tender notis saman PDRM.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemilik sebuah syarikat swasta didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.1 juta berkaitan tender notis saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2019.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Shazwan Shaharuddin, 37, didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya daripada pekerja Syarikat SR Express (M) Sdn Bhd, Ukasyah Amiruddin, 33, suapan berjumlah RM1.1 juta sebagai upah.

Ia kerana membantu mendapatkan tender bagi kerja-kerja perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos notis saman PDRM kepada syarikat itu di sebuah bank di Setia Alam, dekat sini pada 23 dan 31 Disember 2019.

Mohd Shazwan dituduh mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan di hadapan Hakim Rozilah Salleh, selain Mohamad Shazwan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sekali sebulan.

Bagimanapun, Mohd Shazwan yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri memohon jaminan RM40,000 dengan dua penjamin dan bersetuju dengan sebarang syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah.

"Anak guam saya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan dia memberi kerjasama yang baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan selain telah menyerahkan pasport di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi kes di sana.

"Semenjak ditahan SPRM, tender yang diperoleh syarikat pembekalannya telah ditarik balik dan menyebabkan perniagaannya terjejas. Tertuduh juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara dua dan enam tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 dengan dua orang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes. - Bernama