'Tidak mustahil Pas kembali kepada PKR-DAP'

Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi di facebooknya pada Selasa.
Tangkap layar kenyataan Asyraf Wajdi di facebooknya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama kembali antara Pas bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah suatu yang mustahil bagi tujuan mengalahkan UMNO.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebelum ini Pas pernah bersama gagasan berkenaan dalam Pakatan Rakyat (PR) atas matlamat yang sama.

Menurutnya, ia seperti saranan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari apabila bersungguh-sungguh mengajak DAP- Parti Keadilan Rakyat (PKR) PH menjatuhkan kerajaan UMNO di Pahang.

“Apakah bermakna kenyataan Mursyidul Am Pas, Ustaz Hashim Jassin kelmarin untuk mencari jalan menyelamatkan hubungan dengan UMNO atas nama Muafakat Nasional (MN) hanyalah sandiwara semata-mata?

“Kalau Pas boleh meninggalkan UMNO dalam MN untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan pasangan baharu.

“Itulah seni politik. Seni yang serba berkemungkinan. Seni yang boleh berubah-ubah. Seni yang jika agama dikesampingkan matlamat boleh menghalalkan cara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Ahmad Fadhli sebelum ini mengajak penyokong PH berfikir sejenak betapa pentingnya merubah kepimpinan di Pahang.

Katanya, Pas ada peluang untuk menang atau setidak-tidaknya menjadi pemegang syer paling besar dalam pembentukan kerajaan negeri itu.

“Alangkah baiknya jika pengundi-pengundi PH dan PKR dalam pilihan raya yang lepas (PRU14) dapat membuat pertimbangan semula dan memberikan undi kepada Pas pada pilihan raya kali ini demi merubah kepimpinan kerajaan negeri Pahang,” ujarnya.