Ada cubaan burukkan BN: Tok Mat

Calon Barisan Nasional PRK DUN Rantau,Datuk Seri Mohamad Hasan ketika bercakap pada sidang media di command centre BN hari ini. - Foto: ADAM AMIR HAMZAH
A
A

SEREMBAN - Calon BN PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada cubaan pihak tertentu memburukan nama parti itu dengan menggunakan nama BN untuk 'memancing' pengundi.

Beliau berkata, perkara itu diketahui selepas dihubungi oleh enam pengundi DUN berkenaan semalam.

"Saya menerima panggilan telefon dan diberitahu bahawa ada usaha yang dilakukan dengan menelefon pengundi tegar BN.

"Mereka beritahu jika keluar mengundi BN akan diberi duit RM50. Saya telah minta mereka buat laporan polis kerana ini merupakan satu cara untuk memburukkan BN," katanya.

Beliau menegaskan yang parti itu tidak pernah ada niat dan usaha memancing pengundi kerana tahu ia satu kesalahan.

Bahkan Mohamad berkata, mahu menyediakan makan dan minum di bilik gerakan pun tidak dibenarkan.

"Saya harap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) siasat dan kita bendung kerana kita tak mahu orang kata ini BN yang buat.

"Kita nak nafikan bahawa ia dibuat oleh BN. Ada pihak yang nak mencemarkan nama BN dengan perangkap sebegini," katanya.

Ditanya mengenai majlis jamuan makan di program ceramah PH dan pemberian kupon bernilai RM75,000 kepada pelajar kurang bernasib baik di DUN Rantau, Mohamad berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) perlu menyiasatnya dan jalankan tugas secara saksama.

Katanya, secara jelasnya perkara itu dilarang dalam peraturan pilihan raya.

"Jangan pula satu pihak diberi kebebasan buat pelanggaran," katanya.