KUSKOP sentiasa beri sokongan kepada Angkasa

Muslimin. - Foto Bernama
Muslimin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sentiasa memberi sokongan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) selaku badan puncak yang mewakili gerakan koperasi Malaysia di peringkat antarabangsa iaitu Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Muslimin Yahaya berkata, di peringkat ICA baru-baru ini, wakil negara, Datuk Kamarudin Ismail dari Angkasa telah berjaya mempertahankan kedudukan selaku wakil rantau Asia Pasifik bagi kerusi Ahli Lembaga ICA.

Selain itu, beliau berkata Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah juga telah dipilih sebagai Naib Presiden ICA bagi tempoh 2021 hingga 2025.

"Kejayaan wakil negara ini penting kepada gerakan koperasi di Malaysia terutama dalam mewakili dan membawa suara 14,834 koperasi yang merangkumi 7.08 juta anggota ke peringkat global,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Muslimin berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mengenai usaha kerajaan dalam mengukuhkan lagi peranan koperasi di Malaysia melalui kerjasama dengan pihak koperasi lain di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata Angkasa juga telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan badan koperasi antarabangsa seperti Indian Farmers Fertiliser Cooperative Ltd (IFFCO), India dalam pembekalan baja nano urea untuk meningkatkan hasil pengeluaran serta kualiti penuaian melalui peningkatan produktiviti.

Selain itu, Muslimin berkata Angkasa turut menjalinkan kerjasama dengan National Agricultural Cooperative Federation, Korea Selatan dalam membangunkan industri lembu tenusu merangkumi kerjasama melatih kakitangan dalam bidang veterinar.

"Dalam usaha memperkukuhkan lagi peranan gerakan koperasi di peringkat antarabangsa pada masa akan datang, Angkasa akan mengadakan kerjasama dengan Cambodia Muslim Development Foundation (CMDF), khususnya untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat menerusi pembangunan koperasi kariah masjid.

"Selain itu, Angkasa akan bekerjasama dengan Kerajaan Eswatini (Swaziland) untuk menyokong pembangunan koperasi sekolah yang berkesan,” katanya. - Bernama