'Tiba masa kami balas kebaikan'

Simon (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada 70 pelajar terpilih.
Simon (tengah) menyampaikan bantuan persekolahan kepada 70 pelajar terpilih.
A
A
A

BALING - Keprihatinan penduduk berbeza negeri mahupun bangsa menghulurkan bantuan ketika musibah membuktikan semangat Keluarga Malaysia dibudayakan dengan subur.

Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 12 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)-Kota Kemuning antara yang berkampung di Kupang di sini bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa tragedi kepala air yang berlaku pada awal Julai lalu.

Pengerusinya, Simon Kong berkata, penduduk Kota Kemuning di Shah Alam, Selangor berbesar hati dengan sumbangan yang diterima dari negeri lain ketika banjir besar melanda daerah itu pada Disember tahun lepas.

"Kini tibalah masa untuk kami membalas kebaikan yang diterima ketika itu.

"Penduduk MPP Zon 12 berharap budaya 'budi yang baik dikenang jua' diamalkan pada setiap masa kerana ia dapat merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum ketika musibah melanda," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa tragedi kepala air di premis Pertubuhan Anak Yatim & Miskin Nur Hidayah, Kampung Sadek, di sini pada Selasa.

Simon berkata, diharap lebih ramai lagi akan tampil menjadi sukarelawan dan saling membantu tanpa mengira agama dan bangsa.

"Ketika banjir besar di Sri Muda, Shah Alam kami menerima banyak bantuan dalam pelbagai bentuk dan sumber.

“Saya lihat masyarakat Malaysia bersatu padu tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik ketika berdepan bencana. Ini disebabkan kita bangga menjadi anak Malaysia dan budaya ini wajar dipupuk dan diteruskan setiap masa," katanya.

Menurutnya, MPP Zon 12 MBSA-Kota Kemuning mengetuai pasukan bersama 10 sukarelawan menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian sekolah, alat tulis, wang tunai serta beg sekolah kepada anak-anak terkesan banjir besar yang mengorbankan tiga nyawa itu.

"Seramai 70 pelajar sekolah rendah dan menengah dipilih untuk menerima bantuan ini.

"Program sumbangan ini turut mendapat kerjasama Mygalore, Bugzbagz serta beberapa rakan persendirian yang mahu membantu meringankan beban mangsa," ujarnya lagi.

Sebahagian pelajar gembira menerima sumbangan daripada MPP Zon 12 MBSA-Kota Kemuning.
Sebahagian pelajar gembira menerima sumbangan daripada MPP Zon 12 MBSA-Kota Kemuning.