40 atlet Johor raih pingat Sukan SEA, Komanwel terima insentif

Onn Hafiz Ghazi
Onn Hafiz Ghazi
A
A
A

SERAMAI 40 atlet Johor menerima insentif daripada kerajaan negeri dengan keseluruhan berjumlah RM163,000 atas kejayaan mereka meraih pingat di Sukan SEA Vietnam 2021 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, insentif berkenaan diberikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap prestasi membanggakan yang dipamerkan atlet negeri itu dalam mengharumkan nama negara.

"Ini termasuk melihat kemungkinan meningkatkan lagi nilai pemberian insentif pada masa akan datang sebagai pengiktirafan terhadap hasil titik peluh mereka mengharumkan nama negara.

"Kita akan tengok balik insentif tersebut supaya mereka lebih bermotivasi untuk berkecimpung dalam arena sukan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Johor Sukan SEA 2021, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Penyampaian Bantuan Pentadbiran Badan-Badan Gabungan MBNJ 2022 di sini malam tadi.

Pada Sukan SEA di Vietnam, 26 atlet Johor menyumbang tiga pingat emas, tujuh perak dan 15 gangsa dengan atlet meraih emas menerima insentif RM4,000, diikuti RM2,000 bagi perak dan RM1,500 gangsa.

Bagi Sukan Komanwel Birmingham pula enam atlet Johor meraih dua emas, dua perak dan dua gangsa dengan insentif untuk emas berjumlah RM16,000, perak RM12,000 dan gangsa RM8,000 serta tambahan RM2,000 bagi insentif penyertaan.

Antara penerima insentif untuk Sukan Komanwel ialah jaguh badminton muda negara, Ng Tze Yong yang memperoleh RM28,000 selepas meraih satu emas dan perak menerusi acara perseorangan dan berpasukan campuran, manakala atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan menerima RM18,000.

Sementara itu, Mohamad Aniq yang mencipta kejutan menghadiahkan pingat emas sulung negara di termasya itu, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif berkenaan yang sedikit sebanyak memberikan suntikan semangat.

"Sokongan daripada semua termasuk kerajaan negeri menjadikan saya lebih bermotivasi untuk mencipta kejayaan. Bagi saya insentif perlu kerana atlet berlatih bertahun-tahun dan kalau dapat insentif mereka akan lebih bermotivasi,” katanya.

Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus yang meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel dan menerima insentif RM10,000, turut melahirkan rasa gembira dan berharap dapat mempamerkan prestasi lebih cemerlang pada masa akan datang.

"Apabila atlet meraih pingat dan dapat insentif memang lebih bersemangat kerana sedikit sebanyak memberi sokongan moral. Jadi apabila (Menteri Besar Johor) mahu meningkatkan insentif (pada masa akan datang) saya bertambah semangat dan harap ia direalisasikan.

"Tetapi bagi saya, apabila kita beri hasil yang baik perkara sebegitu (insentif) akan datang sendiri dan tidak perlu difikirkan sangat,” katanya. - Bernama