PBM sedia berunding berhubung penyertaan dalam BN

Nor Hizwan
Nor Hizwan
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Parti Bangsa Malaysia (PBM) bersedia untuk berunding bersama Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) berkaitan sebarang isu atau perkara berkaitan penyertaan parti itu ke dalam gabungan tersebut, kata Setiausahanya, Nor Hizwan Ahmad.

Ia selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin masih belum memberikan kata putus berhubung permohonan parti itu untuk menjadi salah satu parti komponen gabungan berkenaan.

“Pimpinan Tertinggi PBM bersedia untuk berunding bersama Dewan Tertinggi BN sekiranya terdapat sebarang isu atau perkara yang perlu dijelaskan sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Permohonan Parti Bangsa Malaysia untuk menyertai BN adalah demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

“Kami percaya, perubahan-perubahan positif hanya akan dicapai jika negara ini ditadbir oleh gabungan parti politik yang kukuh dan berupaya untuk memperjuangkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada Selasa berkata, permohonan PBM dan beberapa parti lain untuk menjadi parti komponen BN sedang diperhalusi oleh pihak urusetia gabungan itu.

Dalam pada itu, Nor Hizwan berkata, PBM menghormati pendirian diambil Barisan Nasional (BN) untuk menangguhkan keputusan berkaitan kemasukan parti itu ke dalam gabungan tersebut.

“Sebagai sebuah gabungan parti paling lama di Malaysia, sudah tentu BN perlu membuat keputusan dengan memberikan pertimbangan terhadap pelbagai perkara sebelum mencapai konsensus untuk menerima kemasukan baru.

“PBM menghargai keputusan BN untuk membincangkan perkara ini dengan lebih teliti sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelak,” ujarnya.