Renjer maut, 10 cedera letupan bom di Narathiwat

Skuad pemusnah bom menemui dua butir bom dan berjaya dimusnahkan. - Foto 123rf
Skuad pemusnah bom menemui dua butir bom dan berjaya dimusnahkan. - Foto 123rf
A
A
A

NARATHIWAT - Seorang anggota renjer maut manakala 10 lagi cedera, termasuk dua orang awam dalam dua letupan bom di sebuah ladang getah di Narathiwat, selatan Thailand.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mejar Jeneral, Pol Waesamae Salae berkata, dalam insiden 6.30 pagi (waktu tempatan), seorang penoreh getah, 55 tahun, cedera parah dalam letupan pertama di daerah Sungai Padi.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, anggota polis, renjer dan skuad pemusnah bom bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, sebutir bom yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian meletup pada 7.40 pagi (waktu tempatan).

"Berikutan letupan kedua, seorang anggota renjer meninggal dunia di tempat kejadian manakala sembilan lagi cedera, termasuk Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Padi dan seorang orang awam,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, semua yang cedera kini menerima rawatan di hospital.

"Skuad pemusnah bom menemui dua butir bom dan ia berjaya dimusnahkan,” katanya.

Sementara itu, Komander Tentera Bahagian Ke-4, Leftenan Jeneral, Kriangkrai Srirak mengarahkan pihak berkuasa mempergiatkan usaha menjejaki dalang di sebalik letupan itu. - Bernama