Forest mahu tambah pemain lagi

Taiwo Awoniyi penjaring gol tunggal Forest ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham United.
Taiwo Awoniyi penjaring gol tunggal Forest ketika melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham United.
A
A
A

PENDATANG baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest semakin berselera menambah pemain baharu selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas West Ham United dalam aksi liga di Stadium City Ground.

Malah pengendali Forest, Steve Cooper berharap dapat menambah pemain baharu dalam minggu ini selepas kelab Liga Kejuaraan musim lalu itu merekrut 15 pemain baharu.

"Ya, saya masih mahu menambah lagi pembelian pemain-pemain untuk daya saing kelab ini. Sejujurnya saya berharap semua pihak melihat keperluan kelab menambah sejumlah besar pemain baharu. Pada masa sama saya ingin nyatakan bahawa tidak berlaku isu lebihan para pemain di kelab ini.

“Terdapat rasional di sebaliknya dan menjadikan ia satu keperluan sebenar. Kami tidak mempunyai pilihan biarpun berhasrat meneruskan skuad musim lalu dengan menambah beberapa pemain, namun tidak berlaku.

“Kami masih dalam proses membentuk pasukan dan skuad yang kami mahu untuk saingan Liga Perdana Inggeris. Dengan beberapa minggu lagi, pasti akan ada keluar dan masuk,” katanya.

Forest menambah pemain baharu apabila mengikat Emmanuel Dennis dan Cheikhou Kouyate sebelum mengakhiri kemarau 23 tahun kemenangan pertama saingan liga teratas Inggeris ke atas West Ham.

Sebaik menjinakkan anak buah David Moyes, Forest menambah lagi pembelian pemain apabila merekrut bekas pemain tengah kelab Serie A Itali, Atalanta BC, Remo Freuler berusia 30 tahun dengan nilai yang tidak didedahkan kelab.

Terkini, Cooper berhasrat mendapatkan khidmat penyerang Brighton, Neal Maupay selain tonggak kelab Ligue 1 Perancis, Lyon sebelum berdepan Everton hujung minggu ini.