Festival Malaysia Truly Asia dilancarkan di Beijing

Nushirwan (tiga dari kanan) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Malaysia Truly Asia di Hotel China World Beijing.
Nushirwan (tiga dari kanan) pada sidang media selepas Majlis Perasmian Malaysia Truly Asia di Hotel China World Beijing.
A
A
A

BEIJING - Festival Malaysia Truly Asia 2022 telah dilancarkan di sini pada Isnin bagi mempromosikan keunikan dan kepelbagaian budaya yang ada di Malaysia.

Pesta yang dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia itu diadakan bersempena dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65 pada 31 Ogos ini.

Dalam masa sama, pesta yang bermula pada 15 Ogos itu juga bertujuan bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat China berkenaan identiti Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata, istilah Malaysia Truly Asia yang dahulunya hanya sebagai slogan, kini telah menjadi satu falsafah membuktikan bahawa Malaysia sememangnya mempunyai keunikan dan kepelbagaian budaya.

“Ini adalah bukti bahawa perkataan ini adalah benar tanpa keraguan. Lagipun, tagline yang tidak menggambarkan kebenaran dan realiti tidak akan bertahan lama.

“Dengan keindahan alam semula jadi kita, terdapat banyak yang Malaysia boleh tawarkan,” katanya ketika Majlis Perasmian Malaysia Truly Asia di Hotel China World Beijing pada Isnin.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin ketika melawat reruai selepas Majlis Perasmian Malaysia Truly Asia di Hotel China World Beijing.
Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin ketika melawat reruai selepas Majlis Perasmian Malaysia Truly Asia di Hotel China World Beijing.

Terdapat beberapa acara yang akan berlangsung sepanjang festival tersebut antaranya Forum Kesihatan dan Pemakanan Minyak Sawit ke-17.

Selain itu, terdapat juga Salun Seni Peranakan, Pameran Seni Peranakan dan Minggu Makanan Festival Asia Truly Malaysia.

Menurut Nushirwan, hubungan rapat Malaysia dengan China sejak beberapa generasi itu dimanifestasikan dalam budaya peranakan iaitu gabungan kedua-dua budaya negara tersebut.

“Oleh itu, kami akan menganjurkan pameran berkenaan peranakan ini. Ia dibuka kepada orang ramai.

“Malaysia juga terkenal dengan masakannya. Atas sebab ini, Minggu Makanan Festival Asia Truly Malaysia akan diadakan. Para tetamu akan ditawarkan bufet mewah makanan Malaysia yang lazat dan asli dalam tempoh ini.

“Saya berharap anda semua akan dapat mengambil bahagian dalam aktiviti ini. Dengan berbuat demikian, ia memainkan peranan penting dalam mempromosikan hubungan dua hala Malaysia-China yang lebih kukuh,” ujarnya.

Beliau turut berharap festival tersebut dapat mencapai objektifnya iaitu memahat ciri-ciri keunikan Malaysia di ingatan setiap masyarakat di China.