Sebutan semula kes SUV terhumban ke laut

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kes seorang bekas pekerja salon yang dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar kolej selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terhumban ke laut dari Jambatan Pulau Pinang Januari lepas akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini 3 Mei depan.

Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan tarikh berkenaan selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Nur Afiqah Zakaria yang memaklumkan pihaknya baru sahaja menerima laporan bedah siasat mangsa, Moey Yun Peng, 20, dan memerlukan arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan Negeri.

Pada 11 Februari lalu, bekas pekerja salon itu, K. Vaitheswaran, 21, dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan hilang kelayakan lesen memandu sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.

Dia yang diwakili peguam S. Parameswaran didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada kira-kira pukul 3 pagi 20 Januari lepas.

Dalam kejadian itu, Vaitheswaran yang dikatakan memandu kereta jenis Toyota Vios telah berlanggar dengan SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey di atas jambatan berkenaan sehingga SUV itu hilang kawalan dan terjunam ke laut.

Tertuduh minta dibicarakan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai. - Bernama

Artikel Berkaitan: