Pastikan BN menang bergaya pada PRU15: MB Johor

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. Foto Bernama.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. Foto Bernama.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Barisan Nasional (BN) Johor perlu memastikan mampu menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memastikan pembangunan serta kemajuan dapat diteruskan di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sasaran perlu diletakkan dengan mengulangi kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada awal tahun ini.

Jelas beliau, kemenangan tersebut nanti akan membuatkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan 'selari' termasuk akan menerima peruntukan yang lebih banyak.

"Kalau di peringkat negeri kita menang bergaya, tetapi di peringkat Pusat kita tidak selari kerajaannya (bukan kerajaan BN), mana mungkin peruntukan itu akan turun ke Johor.

"Sebab itu, pemimpin di peringkat negeri dan pemimpin Pusat perlu selari supaya limpahannya turun ke Johor. Tengok sahaja bila kerajaan negeri dikuasai BN, kita terima banyak peruntukan untuk pembangunan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini pada Isnin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani serta barisan Exco kerajaan negeri Johor.

Onn Hafiz berkata, sebagai contoh kerajaan negeri menerima peruntukan RM11 juta daripada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique manakala peruntukan RM10 juta daripada Menteri Sains, Teknologi dan Invovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba, baru-baru ini.

Onn Hafiz menyerahkan pelantikan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Puteri.
Onn Hafiz menyerahkan pelantikan dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua WHIP, Ahli Majlis dan Pengerusi Yayasan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Iskandar Puteri.

Katanya, Johor perlu terus bergerak setelah membazirkan tempoh empat tahun, dua tahun ketika ditadbir Kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala dua tahun lagi disebabkan pandemik Covid-19.

"Kita semua sedar dan insaf apabila kerajaan tumbang pada 2018 dan menjadi pembangkang. Pada masa itu, saya yakin semangat perjuangan masih tinggi tetapi hadapi kesukaran untuk bergerak, membantu rakyat.

"Kerajaan BN sebelum itu jiwanya membantu rakyat, namun apabila hilang kuasa segala fasiliti untuk bergerak dengan agensi kerajaan, PBT hilang begitu sahaja tetapi syukur kini kita sudah kembali," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mahu semua pemimpin akar umbi termasuk ahli-ahli majlis bandar raya yang dilantik di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu main peranan untuk memastikan kemenangan BN pada PRU15.

"Oleh itu, pemimpin akar umbi dari semua parti komponen kena buat kerja di kawasan masing-masing. Insya-ALLAH, PRU nanti BN bukan sahaja menang, tapi menang dengan majoriti cukup memberansangkan," katanya.

Semua pihak katanya, perlu pastikan kemenangan BN pada PRU15 dapat direalisasikan kerana hala tuju kerajaan negeri masih panjang.