Peniaga sayur tetak bekas majikan dipenjara dua tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gara-gara menetak kepala bekas majikan dengan sebilah parang kerana tidak berpuas hati ditampar lelaki itu, seorang peniaga sayur dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas E. Thomas Gabriel Gomez, 22, yang mengaku bersalah menyebabkan cedera parah kepada A. Utaiya Sangkar, 33, dengan menggunakan sebilah parang untuk menetak mangsa, di pusat pembuangan sampah Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada 11 malam, 23 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 24 Julai lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira kecederaan dialami mangsa, namun peguam K. Komagen yang mewakili Gomez memohon hukuman minima kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, selain insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian (23 Julai) mangsa telah berjumpa Gomez untuk berbincang mengenai tuntutan gaji dan Gomez berasa tidak puas hati kerana mangsa telah menamparnya dua minggu sebelum kejadian kerana bersikap biadap terhadap rakan sekerja dan diberhentikan kerja.

Semasa berbincang, dia menyerang mangsa dengan sebilah parang dan menetak kepala mangsa beberapa kali sebelum melarikan diri, namun ditangkap polis keesokannya.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa turut mengalami kecederaan pada bahu kiri dan jari tangan kiri. - Bernama

Artikel Berkaitan: