Carreno Busta raih gelaran ATP Masters sulung

Carreno Busta. - Foto USA TODAY Sports
Carreno Busta. - Foto USA TODAY Sports
A
A
A

BINTANG tenis Sepanyol, Pablo Carreno Busta meraih gelaran ATP Masters pertamanya apabila menumpaskan pemain ranking ke-10 dunia, Hubert Hurkacz pada final Kejohanan Bank Nasional di Montreal Kanada, pada Isnin.

Carreno Busta yang juga pemain ranking ke-23 dunia ketika ini merekodkan kemenangan 3-6, 6-3, 6-3 ke atas Hurkacz, sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila muncul pemain bukan pilihan pertama juara kejohanan berkenaan sejak dua dekad lalu.

Mengulas mengenai kemenangannya itu Carrno Busta menegaskan, ia sesuatu yang cukup istimewa kerana menjuarai kejohanan elit Masters 1000 buat kali pertama sepanjang kariernya.

“Ia merupakan satu kejayaan yang luar biasa bagi saya dan merupakan gelaran terbaik pernah saya menangi setakat ini.

“Kejayaan ini juga agak istimewa dan menjadikan segala kerja keras selama berminggu-minggu sebelum ini membuahkan hasil.

“Apapun yang paling penting di sini adalah untuk sentiasa kekal positif sepanjang masa walaupun musim ini bukanlah musim terbaik buat diri saya,” katanya.

Sementara itu, Hurkacz menyifatkan Carreno Busta sememangnya layak memenangi kejohanan berkenaan berdasarkan kepada aksi yang dipersembahkannya pada perlawanan berkenaan.

Malah katanya, biarpun tewas di set pertama, namun pemain Sepanyol itu berjaya bangkit pada dua set berikutnya bagi mencatatkan kemenangan.

“Bagi saya dia Carreno Busta telah mempamerkan aksi yang terbaik di sepanjang perlawanan dan saya sendiri berdepan kesukaran berdepan dengannya.

“Oleh itu, dia sememangnya layak untuk memenangi kejohanan ini,” katanya.