Moyes akui West Ham beraksi dengan baik

Pemain Nottingham Forest meraikan jaringan tunggal Awoniyi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad. - Foto bitlive.com
Pemain Nottingham Forest meraikan jaringan tunggal Awoniyi pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad. - Foto bitlive.com
A
A
A

PENGENDALI West Ham, David Moyes mengakui skuad kendaliannya itu telah beraksi dengan baik biarpun tewas 0-1 kepada pendatang baharu Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, aksi sedemikian masih belum mampu untuk menjamin kemenangan skuad The Hammers itu apabila Forest dilihat turut menggandakan asakan dalam usaha melakar kejayaan.

“Bagi saya, pemain telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan... malangnya, kami gagal ‘membuka’ perlawanan dengan baik yang menyaksikan kami gagal memanfaatkan aksi pada 20 minit awal.

“Selain itu, kami juga banyak terlepas peluang-peluang keemasan terutamanya di depan pintu gol lawan.

“Apa pun secara keseluruhannya, kami tahu yang kami boleh lakukan yang lebih baik lagi pada pelawanan ini, namun ia gagal ‘diterjemahkan’ hingga mengakibatkan kami tewas,” katanya.

Pada aksi berkenaan, pemain Nottingham Forest, Taiwp Awoniyi menjaringkan gol tunggal perlawanan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Jaringan berkenaan nyata sudah cukup memadai apabila West Ham dilihat bergelut bagi menyamakan kedudukan dengan menyaksikan pelbagai percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran.

Sementara itu, Moyes mahu skuad kendaliannya itu melupakan kekalahan 0-1 kepada Nottingham Forest dan memberikan fokus dalam mengharungi aksi kelayakan Liga Konferensi Europa berdepan kelab Liga Denmark, Viborg FF pada Khamis.

Katanya, aksi berkenaan dilihat lebih penting dalam usaha The Hammers untuk muncul mempamerkan aksi sebenar di pentas Eropah.

“Diharapkan pemain dapat melupakan kekalahan kepada Nottingham Forest ini dan menumpukan aksi berdepan Viborg FF.

“Saya mahu menyaksikan pemain mempamerkan aksi terbaik dan mencatatkan kemenangan Khamis ini,” katanya.