[VIDEO] Rezeki ikan bilis naik ke pantai

Orang ramai mengutip ikan bilis yang naik di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor. (Gambar kecil: Penduduk tempatan menunjukkan ikan bilis mata biru yang berjaya dikutip.) - Foto: Ihsan Pembaca
Orang ramai mengutip ikan bilis yang naik di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor. (Gambar kecil: Penduduk tempatan menunjukkan ikan bilis mata biru yang berjaya dikutip.) - Foto: Ihsan Pembaca
A
A
A

LUMUT - Fenomena ikan bilis mata biru naik ke darat di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor sejak Jumaat lalu telah mengejutkan penduduk di pulau bebas cukai itu.

Rakaman video berdurasi 2 minit 51 saat itu menunjukkan pengunjung mengutip ikan bilis segar di pantai berkenaan yang tular di media sosial pada Ahad.

Penduduk, Roslan Ahmad, 58, berkata, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sepanjang dia membesar di pulau berkenaan sebagai nelayan.

"Ini luar biasa tidak pernah berlaku pun sebelum ini. Hanya di pantai Pasir Bogak, pantai lain seperti Teluk Nipah tiada pula.

"Beberapa hari ini penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan memenuhi kawasan pantai mengutip ikan itu. Sedap direbus dan buat cucur ikan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurutnya, kejadian itu mula disedari oleh rakannya yang ternampak biasan cahaya bersinar-sinar di pesisir pantai sekitar jam 8.30 malam.

"Bila dilihat dari dekat nampak ribuan ikan bilis berselerak. Kejadian ini mungkin berlaku disebabkan air pasang dan bulan penuh.

"Semalam ada juga penduduk yang menunggu untuk menyaksikan sendiri kejadian itu tetapi tiada ikan bilis yang naik. Sekali itu sahaja, lepas tu tiada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Roslan berkata, kebiasaannya ikan bilis ini ditangkap nelayan sekitar lima hingga 10 batu nautika.

"Ini rezeki buat penduduk dan nelayan setempat. Tidak dinafikan hasil tangkapan akhir-akhir ini tidak putus-putus.

"Saya menganggap ia satu tanda kebesaran daripada Allah SWT," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Perak, Noraishah Hashim berkata, pihaknya akan meneliti bagi mengetahui punca fenomena yang berlaku itu.

Jelasnya, satu batu nautika dari pesisiran pantai adalah zon konservasi kawasan pembiakan semua jenis ikan.