JKN Kedah mohon maaf jururawat salah beri tarikh janji temu

Tangkap layar satu video yang dimuat naik berhubung tindakan jururawat yang salah memberi tarikh janji temu pengambilan sampel darah.
Tangkap layar satu video yang dimuat naik berhubung tindakan jururawat yang salah memberi tarikh janji temu pengambilan sampel darah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memohon maaf berhubung kesilapan memberikan tarikh janji temu pengambilan sampel darah, yang menjadi tular di media sosial sejak 12 Ogos lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, JKN memandang serius perkara itu dan siasatan awal mendapati, pengadu telah diberi tarikh janji temu yang salah untuk mengambil sampel darah bagi ujian makmal.

Menurutnya, tarikh yang diberikan ialah 5 Ogos 2022 jatuh pada hari Jumaat iaitu cuti hujung minggu di negeri Kedah.

"Bagaimanapun, sampel darah pengadu telah diambil dua hari selepas kejadian iaitu pada hari Ahad, 7 Ogos 2022," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah menghubungi pengadu dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku di mana permohonan maaf berkenaan telah pun diterima baik.

"Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat kesal dengan perkara ini sehingga menyebabkan pengadu berdepan kesulitan," katanya.

Jelas Othman, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden agar langkah penambahbaikan dapat diambil bagi mengelakkan ia berulang.

"Penambahbaikan berterusan dan kepuasan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dalam menyampaikan perkhidmatan kepada seluruh anggota masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lalu, satu video berdurasi 2 minit 44 saat telah dimuat naik seorang pengguna di aplikasi TikTok memaparkan kesulitan yang dihadapi setelah tarikh diberikan untuk pengambilan sampel darah di sebuah makmal di negeri ini, adalah salah.

Pengadu dalam video tersebut menjelaskan pada awalnya telah memohon penukaran tarikh lain memandangkan jatuh pada hari dia bekerja, namun diarahkan akur pada tarikh ditetapkan.

Bagaimanapun, kehadiran wanita itu mengikut tarikh diberikan mendapati, makmal tidak beroperasi dan ditutup pada Jumaat.

Video terbabit mendapat lebih 139,000 tontonan, 705 komen dan 3,453 tanda suka.