50 syarikat lombong gagal perbaharui lesen

Anggota JPNP menyita alat semburan air melombong emas pada Operasi Lombong 4.0 di Hutan Simpan kekal Ulu Jelai, Lipis. - Foto Ihsan JPNP
Anggota JPNP menyita alat semburan air melombong emas pada Operasi Lombong 4.0 di Hutan Simpan kekal Ulu Jelai, Lipis. - Foto Ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN – Sebanyak 50 syarikat perlombongan gagal memperbaharui lesen mencari gali bijih emas dan besi yang diusahakan dalam kawasan hutan simpan kekal di tanah kerajaan di daerah Lipis.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sikap cuai dan ambil mudah untuk tidak memperbaharui lesen antara yang dikesan dalam operasi lombong 4.0 di daerah itu yang diadakan sejak dua hari lalu.

Menurutnya, syarikat perlombongan yang beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan akta pihak berkuasa lain.

“Pengusaha perlu memperbaharui lesen melombong sebelum tamat tempoh kuat kuasa, bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang. Jika tiada lesen sah, kita tidak akan berkompromi dengan syarikat dan individu yang terbabit dengan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal di negeri ini secara haram tanpa memiliki permit atau lesen.

“Tindakan tegas menanti pihak terbabit, selain dikenakan denda peralatan dan jentera mereka turut akan dirampas. Lesen mencari gali bijih emas dan besi hanya dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) sementara permit penggunaan hutan simpan bagi membabitkan jentera dan pekerja dikeluarkan jabatan perhutanan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

JPNP mengadakan operasi lombong 4.0 di daerah Lipis dan program empat hari itu disertai lebih 180 anggota pelbagai agensi kerajaan.

Selain kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang turut sama menyertai operasi berkenaan PTG, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG), Pejabat Daerah Dan Tanah Lipis, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Badan Kawal Selia Air (BKSA), Jabatan Imigresen dan Ibu Pejabat Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Mohd Hizamri berkata, dalam operasi tersebut pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap lebih 55 lombong yang berada dalam kawasan hutan simpan kekal dan tanah kerajaan seluas 60,000 hektar di daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, selain gagal memperbaharui lesen cari gali bijih besi dan emas terdapat beberapa kesalahan lain dilakukan.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus mengadakan ops lombong setiap tahun bagi memastikan semua syarikat perlombongan di negeri ini mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan terutama membabitkan permit atau lesen.

Selain itu, pihaknya berjaya menahan tujuh pekerja warga asing yang berada dalam kawasan lombong tanpa permit.

“Mereka diserahkan kepada jabatan imigresen untuk tindakan selanjutnya, palung yang dibina secara haram turut dirobohkan,” katanya.