MAINJ bakal bina Sekolah Menengah Antarabangsa Tahfiz Johor

Mohd Fared ( dua dari kiri) merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf MAINJ di Iskandar Puteri, pada Ahad.
Mohd Fared ( dua dari kiri) merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf MAINJ di Iskandar Puteri, pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bercadang menubuhkan Sekolah Menengah Antarabangsa Tahfiz Sains yang menggabungkan pendekatan sains, agama dan hafazal Al-Quran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tanah berkeluasan dua hektar di Mukim Tebrau, Kampung Sinaran Baru telah diwakafkan bagi pembinaan institusi pendidikan tersebut yang dijangka bermula pada 2024.

Katanya, sebanyak RM10 juta telah dikutip menerusi Saham Wakaf Johor bagi projek pembinaan institusi pendidikan tersebut sejak Febuari lalu.

"Anggaran kutipan dana wakaf yang diperlukan sebanyak RM30 juta bagi projek tersebut. Projek ini akan dikelolakan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

"Sekolah bertaraf antarabangsa ini akan menggunakan dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Arab dan 80 peratus pelajar akan diambil daripada warga tempatan manakala selebihnya daripada luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf MAINJ di Iskandar Puteri pada Ahad.

Hadir sama, Penasihat MAINJ, Datuk Dr Nooh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Mohd Rofiki A Shamsuddin.

Menurut Mohd Fared, sebanyak RM1.48 juta berjaya dikutip Skim Wakaf Al- Quran di bawah Saham Wakaf Johor sejak 2010 bagi menyalurkan al-Quran kepada sekolah-sekolah agama, pusat pengajian tahfiz dan masjid-masjid di seluruh negeri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, menerusi sumber wakaf hasil daripada sewaan menara komunikasi di bawah kebenaran MAINJ pada tahun lepas, sejumlah RM1.79 juta akan diagihkan kepada masjid dan surau di negeri ini.

"Selain sumbangan wakaf yang diperoleh sama ada melalui harta peribadi, institusi atau penyertaan orang ramai, MAINJ turut mendapatkan sumber wakaf bulanan melalui kaedah pemotongan gaji.

"Ia membabitkan kakitangan awam dan swasta menerusi Skim Saham Wakaf Johor. Potongan gaji bermula dengan nilai RM10. MAINJ turut melancarkan borang potongan gaji sebagai satu cabang saluran menyertai Saham Wakaf Johor," katanya.