PRU15: Pas Kedah sasar 22 kerusi DUN

Muhammad Sanusi semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Dataran Markas JPrD Pedu, Pekan Naka pada malam Sabtu.
Muhammad Sanusi semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Dataran Markas JPrD Pedu, Pekan Naka pada malam Sabtu.
A
A
A

PADANG TERAP - Pas Kedah menyasarkan pertambahan jumlah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini kepada 22 berbanding 15 yang dimenangi mereka pada PRU lalu.

Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keyakinan tersebut adalah berdasarkan kepada kedudukan parti yang dilihat semakin kukuh dan kuat di negeri ini.

Menurut Menteri Besar Kedah itu, bagaimanapun mereka masih sedia memberi ruang kepada UMNO di negeri ini jika parti tersebut masih lagi mahu bekerjasama pada PRU akan datang.

"Saya akan tambah jadi 22 (kerusi), paling kurang 22, pada asasnya Pas tengah kuat di Kedah. Harimau (UMNO) yang kena tembak sekali rebah. Lepas itu dia nak bangkit (bangun) dia tak sekuat dulu dah.

"Kalau dia nak lawan lah. Kalau dia nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita, dia nak lawan saya rasa dia tak ada segagah dulu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Dataran Markas JPrD Pedu, Pekan Naka pada malam Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas tentang kerjasama Pas dan UMNO di Kedah selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan akan bergerak solo pada PRU15.

Hadir sama Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, Pas sentiasa berusaha untuk menjaga hubungan dengan BN dan UMNO selepas diminta oleh kepimpinan parti untuk berbuat demikian.

Artikel Berkaitan:

Antara ahli parti Pas Kedah yang hadir Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Dataran Markas JPrD Pedu, Pekan Naka pada malam Sabtu.
Antara ahli parti Pas Kedah yang hadir Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Dataran Markas JPrD Pedu, Pekan Naka pada malam Sabtu.

"Kita tidak buat apa-apa yang menyebabkan Pas dan UMNO di Kedah ini bergaduh. Apa yang kita berucap di Pilihan Raya Negeri Johor sebelum ini, itu dalam konteks negeri Johor.

"Malam ini saya sebutkan betapa baiknya Pas dalam hubungan dengan BN dengan UMNO. Kerana kita ada disiplin. Contohnya kita masih minta UMNO beri nama calon mereka untuk menggantikan Penyelaras DUN Kubang Rotan, Datuk Hashim Jahaya yang meninggal dunia (pada 7 Mei lalu).

"Mereka berikan nama Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid untuk ganti sedangkan kita boleh ganti dengan orang Pas atau Bersatu," ujarnya.

Ditanya kesediaan kerajaan Kedah untuk membubarkan DUN jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu akan ditentukan oleh Pas Pusat.

Pas yang mempunyai 15 kerusi DUN kini mengetuai kerajaan PN di Kedah bersama Bersatu yang mempunyai enam kerusi DUN dan UMNO dua kerusi DUN.

Pakatan Harapan di Kedah pula merekodkan 13 kerusi DUN iaitu lima dimiliki PKR, Amanah (4), DAP (2) dan Pejuang (2).