Keputusan BN bergerak solo pada PRU15 muktamad: Mohamad

Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran jentera BN Terengganu, di Pantai Penunjuk, Kijal, di Kemaman, pada Sabtu.
Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian pelancaran jentera BN Terengganu, di Pantai Penunjuk, Kijal, di Kemaman, pada Sabtu.
A
A
A

KEMAMAN - Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah muktamad dan telah diputuskan sebulat suara oleh parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, parti itu yakin mempunyai potensi untuk menang namun perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak kerusi.

"Kita telah buat keputusan pada PRU15 nanti BN akan bergerak solo, nak berunding (buat) lepas pilihan raya.

“Lepas PRU15 kami akan lihat hala tuju kompas mana nak tubuh kerajaan dan dengan siapa yang beri keuntungan kepada kita.

"Tetapi, kalau menang selesa kita akan tubuh kerajaan secara solo tanpa minta sedekah kepada sesiapa,” katanya pada majlis perasmian pelancaran jentera BN Terengganu, di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini, pada Sabtu.

Menurut Mohamad, bagi merealisasikan hasrat itu, parti berkenaan perlu menyelesaikan terlebih dahulu masalah dalaman parti agar boleh bergerak bersama-sama dalam satu pasukan.

"Saya terhidu banyak perbalahan di Terengganu. Jangan disebabkan seekor dua kerbau buat lumpur, semua terpalit.

"Saya tidak mahu lagi ada dalam kalangan kita yang berebut jawatan dalam parti dan budaya 'cah keting'. Fokus kita di Terengganu adalah untuk kekalkan 10 kerusi menang dan tawan semula 12 kerusi yang kita kalah," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad ketika ditanya sama ada parti itu akan menolak permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, beliau berkata, ia masih belum diputuskan.

"PBM minta untuk menjadi sebahagian daripada BN, menjadi ahli kita dan kita akan putuskan dalam mesyuarat Isnin ini,” katanya.