KPLB laksana Program Integriti, Tadbir Urus Dana Kerajaan pada JPKK

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

LIPIS - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan lebih banyak Program Integriti dan Tadbir Urus Dana Kerajaan dalam kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seluruh negara dengan memberi penekanan terhadap peranan dan tanggungjawab JPKK.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, KPLB menerusi Institut Kemajuan Desa (INFRA) turut memfokuskan kepada modul berkaitan integriti dan tadbir urus dana kerajaan bagi memastikan JPKK yang dilantik memahami tatacara dan prosedur pengendalian dana awam.

"Pada masa kini, semua JPKK yang dilantik akan menjalani kursus di INFRA dengan mengikuti beberapa modul asas seperti kepimpinan dan pengurusan kampung, keusahawanan, teknologi maklumat dan inap desa.

"Aspek integriti dan tadbir urus dana kerajaan akan ditambah ke dalam modul sedia ada dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kepekaan dan kesedaran JPKK selain bertujuan mengelakkan ketirisan," katanya.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata demikian selepas merasmikan Kempen Penanaman 100 juta pokok di sekitar bandar Lipis pada Ahad yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Beliau berkata demikian semasa mengulas laporan media baru-baru ini, berhubung aduan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan JPKK Pahang oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Nor yang memaklumkan suruhanjaya itu telah membuka 21 kertas siasatan melibatkan JPKK Pahang sejak 2018.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, sebanyak 15,434 JPKK seluruh negara akan dibekalkan maklumat terkini dan sahih daripada kerajaan berkaitan bantuan dan dana yang disediakan oleh kerajaan dalam membangunkan komuniti kampung mereka.

JPKK sebagai barisan hadapan dalam komuniti juga diharap sentiasa menitikberatkan aspek integriti dan tadbir urus yang baik dalam memastikan penyaluran dana kerajaan menerusi bantuan dan pelaksanaan projek luar bandar dapat dimanfaatkan penduduk sebaiknya. - Bernama