Lelaki terjatuh ketika mandi air terjun

Seorang lelaki cedera selepas terjatuh ketika mandi air terjun di Air Terjun Rimba Kanching pada petang Sabtu.
Seorang lelaki cedera selepas terjatuh ketika mandi air terjun di Air Terjun Rimba Kanching pada petang Sabtu.
A
A
A

RAWANG - Tidak sampai beberapa jam selepas seorang individu terjatuh ketika mandi air di Air Terjun Rimba Kanching di sini, seorang lelaki turut mengalami nasib sama dalam kejadian petang Sabtu.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan mengenai kejadian pada jam 2.08 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 2.15 petang.

"Kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang terjatuh ketika mandi di lokasi kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan pada kaki kanan dan hipotermia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norazam berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan dibawa turun.

"Mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian kira-kira jam 10.22 pagi, seorang lelaki warga Britain parah akibat terjatuh ketika mandi air di Air Terjun Rimba Kanching pada Sabtu.

Mangsa yang berumur 31 tahun itu patah kaki kanan.