Sumali tidak akan tarik laporan polis

Antara aksi beregu sepak takraw lelaki negara pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok. - Foto Bernama (Gambar kecil: Sumali)
Antara aksi beregu sepak takraw lelaki negara pada final Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 selepas menewaskan Laos 2-1 di Bangkok. - Foto Bernama (Gambar kecil: Sumali)
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan tidak akan menarik balik laporan polis berhubung dakwaan beliau mengarahkan pemain negara memboikot dan mensabotaj Kejohanan Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Beliau berkata, saman fitnah itu dibuat bukan bertujuan untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya bagi mengembalikan maruah dan reputasi yang tercalar akibat tuduhan yang melampau terhadapnya dan PSM.

"Saya tidak mahu berselindung lagi di sebalik tabir, kenyataan PSM arah boikot Piala Raja Thailand dengan memetik nama saya, ini satu tuduhan yang amat serius dan berat sedangkan saya tidak terlibat langsung.

"Usah anggap perkara ini kecil kerana ia boleh memalukan dan menjatuhkan nama negara. Sebab itu, saya mengambil tindakan drastik dengan membuat laporan polis atas kenyataan yang tidak berasas itu.

"Pada saya tuduhan itu sudah melampau, jika kita nak menang sesuatu isu, perlu ada fakta yang jelas, isu ini boleh memberi imej dan kesan negatif kepada sukan sepak takraw negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) pada Jumaat.

Sebelum ini, seorang pemain negara mendakwa pihak tertinggi PSM mengarahkan supaya memboikot dan mensabotaj Piala Raja Thailand ke-35.

Dakwaan itu didedahkan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang menerima laporan daripada pegawai skuad kebangsaan yang bersama pasukan di Bangkok.

"Saya ada maruah selaku presiden. Jadi saya minta pihak di sebelah sana bersedia kerana saya tidak akan tarik balik laporan polis dan tekad mengemukakan saman fitnah minggu depan," tegas Sumali.