Usah tambah beban rakyat naikkan OPR: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) supaya tidak menaikkan kadar dasar semalaman (OPR).

Beliau berkata, kenaikan OPR itu bukan sahaja menambah bebanan peminjam malah tidak menyumbang kepada penurunan kadar inflasi.

“Disebabkan hutang isi rumah berbanding nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara ini berada pada paras hampir 90 peratus manakala Singapura (69.7 peratus), Indonesia (17.2 peratus) dan Filipina (9.9 peratus).

“Oleh itu setiap tingkat kenaikan OPR akan lebih membebankan peminjam di Malaysia berbanding negara serantau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan Kenanga Research (Kenanga) memaklumkan BNM dijangka mengekalkan kecenderungan untuk meningkatkan kadar faedah pada September, menyaksikan kenaikan OPR untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Firma penyelidikan itu percaya kenaikan OPR adalah berdasarkan jangkaan bahawa kadar inflasi Malaysia akan berada pada purata melebihi paras 4.0 peratus pada separuh kedua 2022 (2H22) berikutan kenaikan harga makanan di tengah-tengah peningkatan kos import.

Dalam pada itu, Ashraf Wajdi menjelaskan dari segi teori, alasan kenapa OPR dinaikkan adalah untuk menurunkan kadar inflasi dengan cara memperlahankan aktiviti ekonomi iaitu mencetuskan 'mild recession'.

“Dengan menaikkan OPR sebagaimana teori monetari konvensional, BNM berharap agar sektor perniagaan akan mengurangkan pelaburan dan sektor isi rumah akan mengurangkan perbelanjaan di samping meningkatkan kadar simpanan.

“Tetapi dengan tingkat kadar hutang sektor isi rumah di negara kita yang tinggi, maka kenaikan kadar bunga hanya akan mengurangkan perbelanjaan isi rumah melalui pertambahan pembayaran balik pinjaman bukan menerusi peningkatan kadar tabungan,” ujarnya.

Tangkap layar kenyataan dimuat naik di laman Facebook Asyraf Wajdi.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik di laman Facebook Asyraf Wajdi.

Bagaimanapun, beliau berkata, berikutan kenaikan kadar inflasi yang berlaku bukan berpunca daripada lebihan permintaan sebaliknya akibat permasalahan berkaitan 'supply side disruption' dan 'energy supply shock' akibat perang di Ukraine, justeru, kenaikan OPR tidak akan berjaya menurunkan kadar inflasi.

“Ini jelas terbukti apabila Amerika Syarikat sendiri gagal menangani masalah inflasi yang jauh lebih tinggi di negara itu walaupun kadar bunga dinaikkan.

“Dalam usaha mengawal inflasi, tindakan kerajaan tidak meningkatkan harga bahan api seperti petrol dan diesel serta mengekalkan tarif elektrik terbukti lebih berjaya mengawal kadar inflasi daripada naik terlalu tinggi seperti yang berlaku di negara lain.

“Kejayaan ini tidak ada kena-mengena dengan peningkatan OPR,” jelasnya.

Katanya lagi, dalam keadaan ekonomi domestik negara yang masih belum pulih sepenuhnya, maka tambahan bebanan kewangan ke atas peminjam akibat kenaikan OPR berkemungkinan besar akan menjerumuskan lebih ramai orang kepada masalah ‘insolvensi’.

“Bukan itu sahaja malah pengurangan tingkat perbelanjaan dalam ekonomi yang diharapkan kesan kenaikan OPR turut akan mengganggu proses pemulihan ekonomi domestik pasca Covid-19 yang sedang direncanakan.

“Kenaikan OPR hanya akan memberi kelebihan kepada sektor perbankan.

“Ketika sektor perniagaan lain terutama SME masih terjejas termasuk sektor pekerjaan yang tidak menentu, jadi tidak adil untuk sektor perbankan membuat keuntungan besar,” katanya.

Tambahnya lagi, keuntungan besar yang bakal diperoleh sektor perbankan akibat kenaikan OPR ini tiada kena-mengena dengan usaha produktif sektor tersebut, sebaliknya merupakan keuntungan terpijak akibat perubahan Dasar Monetari oleh BNM.

“Lebihan keuntungan yang didapati secara tidak produktif seperti ini wajar dikategorikan sebagai ‘Rentier Income’ kerana ianya bukan sahaja tidak menyumbang apa-apa kepada pertumbuhan produktiviti malah boleh mengganggu proses pemulihan ekonomi.

“Dengan ini, pemuda UMNO menyarankan agar BNM tidak lagi meningkatkan OPR kerana tindakan itu bukan hanya membebankan peminjam malah kontradik dengan objektif yang mahu dicapai dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19,” jelasnya.