Pertemuan dengan PN telah diadakan: PM

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
A
A
A

SERDANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah mengadakan pertemuan bersama Perikatan Nasional (PN), dua minggu lepas.

Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen itu dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Dah...hari itu saya dah kata, dah ada (pertemuan). Bersatu telah sampaikan pandangan mereka dan saya pun dah sampaikan pandangan saya...jadi setakat itu sajalah," katanya selepas melawat Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Eskpo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini pertemuan beliau bersama kepimpinan PN.

Ismail Sabri berkata, perkara berkenaan juga telah diumumkan semasa beliau merasmikan MAHA 2022 pada 6 Ogos lepas dan ia tidak perlu dibangkitkan lagi.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa fokus kerajaan kini adalah untuk menyelesaikan isu rakyat dan memulihkan semula ekonomi negara.

"Rakyat lebih nak dengar perkara ini (menyelesaikan isu rakyat). Biar kita fokus kepada rakyat. Itu lebih penting.

"Harga barang misalnya yang dikatakan naik dan sebagainya, atas intervensi yang dibuat kerajaan, harga ayam dah turun, lambakan ayam di pasaran tidak besar dari segi jumlahnya yang menyebabkan harga walaupun kita tetapkan harga siling RM9.40, sekarang ini RM7.50 dan ada sesetengah tempat RM7. Itu fokus kerajaan lebih kepada menjaga kepentingan rakyat.

"Seperti minyak masak. Minyak sawit dah turun harga tetapi minyak masak tak turun. Sekarang ini menerusi Jawatankuasa Petugas Khas (Jihad) Tangani Inflasi, kita dah berjaya turunkan harga minyak masak. Kita juga dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya bahawa harga besi pun dah turun,” katanya.

Ismail Sabri yang turut diminta mengulas mengenai pertumbuhan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencapai pertumbuhan 8.9 peratus, berkata ia akan diulas pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) esok yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. - Bernama