Polis kesan lelaki tidak pulang ke rumah sejak Januari

Polis
Polis
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai hilang setelah keluar dari rumah sejak awal Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, usaha mengesan individu berkenaan sedang dijalankan sejak laporan dibuat oleh keluarga mangsa pada 28 Januari lalu.

"Laporan polis dibuat abang kepada lelaki berkenaan susulan adiknya itu tidak balik selepas dua hari keluar rumah di alamat Ukiran Alam Impian, Seksyen 35, Shah Alam.

"Lelaki berkenaan berumur 40 tahun, masih bujang dan keluar rumah dengan membawa pakaian serta disahkan menghidap penyakit Schizophirenia. Sebelum ini menerima rawatan di Hospital Besar Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurut Mohd Iqbal, kes disiasat di bawah kertas enkuiri polis (KEP) Orang Hilang (OH) dan orang ramai mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Noor Musa di talian 011-1780 5996.