Kumpulan terakhir jemaah haji tiba di KLIA

Seramai 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas Tabung Haji (TH) telah selamat pulang ke tanah air. - Gambar hiasan
Seramai 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas Tabung Haji (TH) telah selamat pulang ke tanah air. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 14,305 jemaah haji Malaysia dan 340 petugas Tabung Haji (TH) telah selamat pulang ke tanah air menerusi 49 penerbangan carter haji Malaysia Airlines dan Saudi Airlines bermula 17 Julai sehingga Sabtu.

TH dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 284 orang tiba di tanah air pada hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang melalui penerbangan Malaysia Airlines MH 8351.

Ketibaan mereka pada 1.30 petang dari Madinah, Arab Saudi disambut Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Rombongan Haji 1443H merangkap Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

“Alhamdulillah, secara keseluruhan kami amat bersyukur operasi haji kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang tidak diingini walaupun dalam keadaan endemik Covid-19.

“Selain itu, keadaan cuaca yang agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius,” katanya.

Ujarnya lagi, pengurusan haji Malaysia diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi sebagai antara yang terbaik selain jemaah haji di negara ini juga menerima pujian atas faktor disiplin, berpengetahuan dan penumpuan kepada ibadat haji sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Sementara itu, Amrin berkata, TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan terhadap jemaah haji dan penilaian atas semua aspek operasi tahun ini akan dilaksanakan segera sebagai persiapan awal operasi musim haji pada tahun hadapan.

Selain itu, beliau memaklumkan pada awal tahun ini, pihaknya telah menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah haji ‘Muassasah’ adalah sebanyak RM25,540 seorang.

“Namun kos haji sebenar telah meningkat kepada RM28,632 bagi seorang jemaah haji Muassasah. Antara faktor kenaikan kos yang berada di luar kawalan TH ini adalah peningkatan kos bagi perkhidmatan-perkhidmatan sedia ada.

“Selain caj tambahan bagi kemudahan baru diberikan semasa Masyair termasuk fasiliti disediakan di khemah-khemah Arafah dan Mina antaranya kemudahan khemah dan tandas, sajian serta penggunaan bas baru di Arab Saudi,” jelasnya.

Amrin menambah, dengan peningkatan kos haji pada tahun ini, jemaah haji Muassasah kategori B40 menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,652 seorang (62 peratus daripada kos Haji).

“Manakala jemaah haji Muassasah bukan B40 turut menerima Bantuan Kewangan Haji sebanyak RM15,652 seorang (55 peratus daripada kos Haji).

“Bayaran haji untuk jemaah Muassasah B40 adalah sebanyak RM10,980 manakala bukan B40 ialah RM12,980 seorang,” katanya.

Tambahnya lagi, TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji untuk tahun hadapan melalui pendekatan secara bersasar bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan paling memerlukan.

“Bagi musim haji tahun 1443H/2022M, jumlah keseluruhan Bantuan Kewangan Haji adalah sebanyak RM185.7 juta,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan TH menghargai kesudian Kerajaan Arab Saudi yang sekali lagi memilih negara Malaysia untuk menjayakan Program Pra-Perlepasan Imigresen atau dikenali sebagai ‘Makkah Route’ bagi memudahkan perjalanan jemaah haji di negara ini.

“TH juga berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Syarikat Tawafa Muasassah Asia Tenggara dan Muassasah Adila serta semua agensi yang memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia di tanah suci.

"Kita ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam operasi tanah air dan di tanah suci antaranya pasukan Petugas Haji TH termasuk pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kekal komited memberikan khidmat terbaik demi menjaga kebajikan jemaah haji sepanjang musim haji berlangsung," katanya.