Semua jenis basikal boleh masuk KTM Komuter

Mohd Zain (tengah) dan Masri (berbaju biru) menyambut kumpulan berbasikal dari Kuala Lumpur.
Mohd Zain (tengah) dan Masri (berbaju biru) menyambut kumpulan berbasikal dari Kuala Lumpur.
A
A
A

SEREMBAN - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini membenarkan semua jenis basikal dibawa masuk ke dalam pengangkutan itu secara percuma bermula 6 Ogos lalu.

Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, inisiatif itu merupakan antara usaha KTMB untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

"Sebelum ini hanya basikal lipat saja yang dibenarkan dibawa masuk dengan dikenakan caj RM2 kepada pengguna.

"Tapi bermula 18 April lalu, kita mengumumkan tiada lagi caj dan pada 6 Ogos lalu pula kita mula membenarkan semua jenis basikal untuk dibawa masuk ke dalam komuter pada luar waktu puncak hari bekerja dan sepanjang masa pada hari minggu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seremban Cylo Tourism @ Terokai Seremban Dengan Basikal di Stesen Keretapi Seremban di sini pada Sabtu.

Majlis dirasmikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali.

Menurutnya, KTMB juga dalam perancangan mempromosikan aktiviti berbasikal dengan menaiki komuter bukan saja di Negeri Sembilan tetapi juga Selangor dan Perak.

"Ini kali pertama kita bekerjasama dengan MBS untuk mempromosikan aktiviti berbasikal dalam masa sama memperkenalkan Seremban sebagai destinasi pelancongan menarik.

"Perkhidmatan tren KTMB merangkumi hampir seluruh Semenanjung Malaysia yang menawarkan pelbagai lokasi menarik dan tempat riadah," katanya.

Sementara itu, Masri berkata, Negeri Sembilan khususnya Seremban mempunyai pelbagai laluan menarik untuk diteroka penggemar sukan berbasikal dari seluruh Malaysia.

"Antara laluan berbasikal yang menarik dan dicadangkan untuk berbasikal adalah di Jalan Temiang- Pantai yang mendapat jolokan New Zealand, Kuala Klawang- Genting Peras, Bukit Miku- Tampin, Sungai Gadut- Rantau dan Rembau- Gemas.

"Saya yakin laluan ini mampu menarik lebih ramai 'pelancong berbasikal' ke Seremban dan Negeri Sembilan dengan menggunakan kemudahan KTM Komuter yang disediakan," katanya.

Selain itu katanya, agensi pelancongan di negeri ini diseru menyediakan pakej pelancongan yang bersesuaian dengan aktiviti berbasikal kerana membuka lebih banyak peluang ekonomi.