'Bukan lewat maklum tapi jenazah diterima tanpa identiti'

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

TELUK INTAN - Hospital Teluk Intan menafikan berlaku kelewatan makluman kepada waris keluarga berhubung satu mayat lelaki sepertimana aduan dilaporkan sebuah akhbar di sini, Selasa lalu.

Pengarah Hospital Teluk Intan, Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin berkata, mayat lelaki itu telah diterima tanpa identiti dan tidak dikenal pasti daripada polis pada 28 Julai lalu.

Menurutnya, proses bedah siasat kemudiannya dijalankan pada 29 Julai selaras dengan permintaan pemeriksaan mayat (Pol.61) dikeluarkan polis mengikut Akta 593 Kanun Acara Jenayah Bahagian Lapan (8) Bab 32 Perkara 329 sehingga Perkara 332.

"Pada masa itu identiti jenazah tidak dikenal pasti dan jenazah telah disimpan di Unit Forensik sementara menunggu siasatan dan arahan selanjutnya daripada polis.

"Polis telah membawa waris untuk proses pengecaman di unit forensik pada 5 Ogos sekitar jam 9 pagi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, prosedur bedah siasat dan penyimpanan jenazah telah dimaklumkan secara lisan kepada waris yang hadir semasa proses pengecaman dilakukan.

Katanya, jenazah telah diserahkan kepada waris pada hari yang sama sekitar jam 11 pagi, selepas pelepasan dikeluarkan polis.

"Situasi yang berlaku dalam insiden ini adalah mengikut prosedur yang sebenar.

"Proses tersebut adalah mengikut Polisi Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2012," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada waris arwah.

Dalam laporan itu, waris keluarga meluahkan rasa kesal apabila berita mengenai penemuan mayat bapa mereka lewat diketahui sedangkan berita kehilangannya dilaporkan dan dihebahkan dalam akhbar.

Identiti warga emas itu hanya dapat disahkan oleh anaknya, Noorsam Mairan, 42, selepas seminggu mayat bapanya berada di hospital.

Sebelum ini media melaporkan, seorang warga emas, Mairan Basir, 66, gagal dikesan selepas keluar dari rumah dengan menunggang motosikal pada 23 Julai lalu.